Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 25 Mac 2015

Polis lumpuhkan sindiket curi motosikal di Machang

MACHANG: Polis menumpaskan satu sindiket curi motosikal dikenali kumpulan 'Tiger' selepas menahan lapan individu di sekitar daerah ini, bulan ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang DSP Loo Lian Lay berkata kesemua yang ditahan berumur antara 19 dan 42 tahun dan dipercayai aktif menjalankan kegiatan itu sejak awal tahun ini.

"Hasil soal siasat mendapati, suspek mengaku mencuri 10 buah motosikal di Machang, sebuah motosikal di Tanah Merah dan tiga buah di Rantau Panjang," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Machang di sini, Rabu.

Beliau berkata kumpulan ini menjual motosikal curi dengan harga murah iaitu antara RM300 dan RM400 bagi sebuah motosikal.

"Mereka menjual motosikal curi ini di kawasan pedalaman iaitu seperti di Kampung Bahagia di jajahan Kuala Krai bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa," katanya.

Loo berkata polis juga menahan tiga individu berumur antara 14 dan 17 tahun juga pada awal bulan ini.

"Mereka mengaku mencuri lima buah motosikal di daerah ini dan kita sedang memburu saki-baki anggota kumpulan ini," katanya.

Katanya, polis percaya melalui penahanan lapan individu ini sebanyak 20 kes kecurian motosikal di sekitar daerah Machang, Pasir Mas dan Rantau Panjang diselesaikan.

Beliau berkata kesemua suspek direman untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga maksimum tujuh tahun.

Sementara itu, Loo berkata pelbagai usaha dilakukan untuk memerangi kegiatan jenayah di sekitar daerah ini antaranya dengan mengedarkan poster dan risalah di tempat tumpuan masyarakat.

"Ini untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dan kita juga akan mengadakan satu Ops khas di daerah ini bagi membanteras jenayah.

"Orang ramai juga perlu membantu pihak polis dengan menyalurkan maklumat tentang kegiatan jenayah yang berlaku di kawasan mereka," katanya.

Sumber: BERNAMA | 25 Mac 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan