KOTA BHARU: Menteri Ekonomi ASEAN akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai cadangan penubuhan bank usahawan mikro, yang beroperasi di setiap negara anggota, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata bank yang dicadangkan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN itu akan memberi tumpuan ke atas perusahaan kecil dan mikro yang berminat meluaskan perniagaan dan pelaburan di negara anggota ASEAN yang lain.
Dalam sidang media pada hari terakhir Pemukiman Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-21 di sini Ahad, beliau berkata perbincangan mengenai cadangan penubuhan bank itu, yang dijangkakan dapat meningkatkan sumbangan perusahaan kecil dan mikro, memerlukan masa yang lebih panjang.
"Ia merupakan antara banyak cadangan yang kami putuskan untuk membantu perusahaan kecil dan mikro, dan pada masa yang sama merangsang perdagangan dan pelaburan sesama anggota ASEAN.
"Justeru itu kami perlu menyelaraskan semua cadangan dengan institusi nasional yang sudah wujud jika kita benar-benar berminat," katanya.
Pada masa ini setiap negara anggota sudah mempunyai pendekatan sendiri bagi membantu perusahaan kecil dan mikro, kata Mustapa dan menambah bahawa Malaysia sudah lama memperkenal Skim Pembiayaan Mikronya.
Menerusi skim itu, bank koperasi dan kemudahan kredit khusus bank menawarkan pinjaman perniagaan daripada RM500 hingga RM50,000 untuk perusahaan kecil dan mikro.
Menteri Ekonomi anggota ASEAN berhimpun di sini sejak Jumaat untuk mesyuarat penting bagi melaksanakan rancangan penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).
Pemukiman itu, antara banyak mesyuarat ASEAN yang diadakan sempena Malaysia menerajui ASEAN pada 2015, dipengerusikan Mustapa.
"Rakyat Kita, Komuniti Kita dan Visi Kita merupakan tema Malaysia yang mempengerusikan ASEAN.
Sumber: BERNAMA | 1 Mac 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan