Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 28 Mac 2015

Dua lelaki aktif curi kenderaan, samun ditahan

KOTA BHARU: Dua suspek yang dipercayai aktif melakukan samun dan curi kenderaan di negeri ini berjaya diberkas polis di Kampung Pauh Lima, di sini, semalam. 

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, dalam kejadian kira-kira 10.50 malam itu, sepasukan anggota polis telah mengekori sebuah kenderaan yang dinaiki tiga orang suspek dari jalan Kota Bharu - Salor.

"Menyedari mereka diekori, suspek cuba melarikan diri dengan bertindak ganas merempuh kenderaan polis dan kenderaan awam untuk melarikan diri menyebabkan dua das tembakan dilepaskan untuk memberhentikan kenderaan yang dipandu suspek," katanya. 

Dalam kejadian itu, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 29 tahun manakala dua lagi suspek berjaya melarikan diri, katanya yang ditemui pemberita selepas Program Mengimarahkan Masjid Mukim Tegayong Sempena 'Peringatan Hari Polis Ke-208 Tahun' Peringkat Kontinjen Kelantan di sini, hari ini. 

Katanya, suspek kedua, berusia 28 tahun berjaya ditahan kira-kira pukul 1 tengah hari tadi di sekitar kampung berkenaan hasil maklumat orang awam. 

Mazlan berkata, kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan kereta yang digunakan adalah kereta curi. Polis kini sedang memburu seorang lagi suspek kes berkenaan. 

Kedua-dua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Kes turut disiasat dibawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga maksimum tujuh tahun.

Dalam perkembangan lain, Mazlan berkata masyarakat perlu bekerjasama dengan polis untuk menangani kegiatan jenayah terutama kegiatan pengedaran dadah.

"Kerjasama masyarakat amat penting kerana ia dapat memudahkan tugas polis. Oleh itu saya seru masyarakat untuk bersatu dengan polis untuk menangani kegiatan jenayah di negeri ini," katanya.

Beliau turut mengingatkan golongan ibu bapa untuk sentiasa memantau perkembangan anak-anak di luar rumah supaya tidak terlibat dengan kegiatan jenayah dan kumpulan militan.

Sumber: BERNAMA | 27 Mac 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan