GUA MUSANG: Polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah terbesar di Kelantan berikutan penahanan tiga lelaki dan merampas sepucuk pistol bersama wang tunai lebih RM200,000 dalam sebuah teksi yang dinaiki mereka, semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, kejadian berlaku pada 4.20 petang semasa suspek berusia 30, 44, dan 64 tahun itu menaiki sebuah teksi melalui sekatan jalan raya di Kampung Batu Dua, Jalan Gua Musang - Kuala Krai.
Beliau berkata, sebaik sampai di sekatan jalan raya itu, teksi yang dipandu suspek berusia 64 tahun tidak berhenti sebaliknya memecut kenderaan menghala ke Kuala Krai.
"Dua anggota polis terpaksa mengejar teksi berkenaan sejauh dua kilometer sebelum berjaya ditahan dan pemeriksaan menemui sepucuk pistol bersama wang tunai RM200,946 dalam teksi berkenaan.
"Kita (polis) tidak menemui dadah dalam kereta terbabit kerana dipercayai telah dilempar keluar ketika dikejar oleh polis," katanya pada sidang akhbar berkaitan tangkapan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang, di sini, hari ini.
Mazlan berkata, suspek yang berasal dari Lembah Klang dipercayai menjadikan Kelantan sebagai pusat pengedaran dadah.
Beliau berkata teksi yang digunakan tiga suspek itu juga dipercayai untuk mengabui mata pihak berkuasa yang membuat sekatan jalan raya berkenaan.
Katanya, siasatan awal mendapati tiga lelaki terbabit tidak mempunyai rekod kegiatan jenayah lampau.
"Ketiga-tiga mereka yang dibawa ke IPD Gua Musang untuk ujian air kencing dan mendapati positif Methamphetamine," katanya.
Katanya, mereka ditahan reman empat hari mulai hari ini untuk siasatan lanjut.
Sumber: BERNAMA | 26 Mac 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan