Seorang pengunjung mengambil wuduk menggunakan air yang disimpan di dalam bekas simpanan. |
KOTA BHARU: Masalah bekalan air terputus-putus di Kompleks Bazar Tok Guru menjejaskan urusan seharian peniaga dan pelanggan.
Masalah itu didakwa telah berlarutan selama tiga tahun dan keadaan semakin meruncing sejak hujung tahun lalu.
Seorang peniaga, Mohd Sharif Abd Ghani, 27, berkata, keadaan itu memberi masalah kepada mereka yang banyak menghabiskan masa menjaga kedai yang dibuka dari pagi hingga petang.
Katanya, dalam tempoh itu, sudah semestinya mereka perlu membuang air dan solat, namun ketiadaan air terutama pada waktu puncak iaitu ketika tengah hari dan petang sangat menyukarkan peniaga.
"Itu pun nasib baik apabila pihak persatuan bazar ini berusaha menyimpan air menggunakan tong air dan dikhaskan untuk peniaga serta pengunjung berwuduk. Kami pula perlu jimatkan penggunaan air kerana memikirkan orang lain juga memerlukan air untuk berwuduk," katanya.
Lebih memburukkan keadaan katanya, ada kalangan peniaga terpaksa menutup kedai untuk tempoh yang agak lama kerana pergi membuang air atau menumpang solat di bangunan lain di sekitar kawasan berkenaan.
Seorang penjaga kedai kenali sebagai Hidayah berkata, hampir setiap hari dia menumpang tandas di bangunan lain untuk mengambil wuduk atau membuang air kerana masalah tersebut.
"Masalah ini sudah lama berlaku dan belum ada penyelesaian walaupun beberapa kali aduan dibuat. Ia sangat membebankan kami, lebih-lebih lagi peniaga yang mempunyai anak kecil dan terpaksa berjalan jauh menumpang air di tempat lain.
"Saya harap pihak berkenaan datang lihat masalah kami kerana ia berlaku bukan sehari dua tapi sudah bertahun-tahun kami berdepan masalah ini. Mahu guna tandas pun susah sebab kotor dan tiada air," katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 27 Mac 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan