Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 3 Mac 2015

RMK10: RM698 juta diperuntuk bagi infrastruktur di Kelantan

PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM698 juta untuk membiayai projek infrastruktur jalan dan jambatan di Kelantan di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10), menurut Kementerian Kerja Raya (KKR), pada Selasa.

Kenyataan KKR itu sekali gus menafikan laporan akhbar Harakah bahawa Kelantan dipinggirkan daripada peta pembangunan infrastruktur negara.

"Peruntukan ini merupakan sebahagian komitmen kerajaan untuk menyediakan infrastruktur bermutu tinggi kepada seluruh rakyat terutamanya penduduk di kawasan Pantai Timur Semenanjung," menurut kenyataan itu.

Harakah baru-baru menyiarkan sebuah laporan bertajuk 'Temui PM Selesai Masalah Rakyat' yang mendakwa Kelantan tersisih daripada mendapat kemudahan lebuh raya.

Menurut KKR, antara projek infrastruktur berimpak tinggi yang sedang dilaksanakan di Kelantan ialah projek membina jalan dari Kota Bharu ke Kuala Krai sepanjang 71.2 kilometer (km).

KKR berkata selaras keperluan trafik semasa, pelaksanaan projek itu dimulakan dengan dua kontrak pembinaan iaitu pakej 1B bagi jajaran Pasir Hor ke Kadok sepanjang 7km yang dijangka siap pada April 2017 dan dan pakej 2A bagi jajaran Kadok ke Ketereh sepanjang 6.85km yang dijangka siap pada April 2018.

"Projek ini merupakan sebahagian daripada Projek Central Spine Road (CSR) yang menghubungkan Kuala Krai dengan Simpang Pelangai di sempadan Pahang dan Negeri Sembilan sepanjang 390km," katanya.

Tambahnya, pada masa ini kerja-kerja menaik taraf dan membina jalan baharu diberi tumpuan di sepanjang jajaran Kampung Relong, Pahang ke Gua Musang, Kelantan atas faktor keselamatan.

Menurutnya, sebahagian daripada jajaran tersebut iaitu dari Kampung Kubang Rusa ke Felda Chegar Perah 2, Pahang telah siap dan dibuka kepada pengguna.

"Projek CSR ini bakal menjadi laluan alternatif yang lebih selesa dan selamat kepada pengguna yang ingin menuju ke Kelantan menerusi Gua Musang apabila siap kelak," jelasnya.

Menurut KKR, dua projek yang turut dimulakan tahun ini ialah projek membaiki jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu dari KM10 ke KM21 sepanjang 3.6km dan Jalan Pasir Mas Bypass fasa dua yang melibatkan pembinaan jambatan sepanjang 630 meter serta menaik taraf Bulatan Pasir Mas-Salor-Rantau Panjang.

Selain itu, projek infrastruktur lain yang sedang dalam perancangan ialah pembinaan jambatan dan Jalan Pengkalan Kubor, Tumpat ke Takbai, Narathiwat sepanjang 4.2km, Pembinaan Jambatan Kedua Rantau Panjang, Pasir Mas-Golok, Narathiwat sepanjang 1km dan membina persimpangan bertingkat di atas lintasan keretapi pekan Tanah Merah sepanjang 1km.

"Projek-projek infrastruktur berimpak tinggi ini tentunya akan menjana perkembangan pesat kepada pembangunan sosioekonomi di Negeri Kelantan khususnya kepada sektor pelancongan dan industri kecil sederhana," kata KKR.

Sumber: BERNAMA | 3 Mac 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan