Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 28 Mac 2015

Projek sekolah tahfiz di Jeli perlukan sumbangan RM130k

Kalik (kanan) bersama sebahagian ahli jawatankuasa Masjid Mukim Gemang berkongsi perkembangan pembinaan sekolah tahfiz di masjid itu dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), Marhaini Yusoff.
JELI: Sekurang-kurangnya RM130,000 diperlukan Masjid Mukim Gemang untuk membina sekolah tahfiz di masjid berkenaan yang kini dalam proses pembinaan.

Imam Tua masjid berkenaan, Kalik Mamat berkata, sekolah tahfiz seluas 30 x 40 kaki persegi itu dijangka dapat menampung kira-kira 40 pelajar yang terdiri daripada anak mukim Gemang.

"Hasrat ahli jawatankuasa masjid untuk memastikan anak-anak mukim di sini berjaya menamatkan bacaan dan hafalan mereka sebelum melangkah ke alam dewasa.

"Ruang untuk tujuan pengajian sudah ada, cuma kita memerlukan penginapan, dewan serta pejabat pengurusan bagi memudahkan urusan berkaitan sekolah tahfiz ini," katanya kepada Sinar Harian di pekarangan masjid berkenaan di sini, semalam.

Kalik berkata, projek pembinaan sekolah tahfiz itu telah dimulakan 1 Mac lalu, hasil sumbangan penduduk setempat dan orang ramai yang singgah di masjid berkenaan.

"Kira-kira RM20,000 dihabiskan sehingga kini, dan kita masih perlu jumlah agak besar menyiapkan bangunan dua tingkat ini, dan kita sasarkan ia akan siap sepenuhnya 1 Mac 2017 kerana tidak mempunyai dana khas dan hanya bergantung kepada sumbangan orang ramai," katanya.

Kalik berkata, dia terpanggil untuk menyuarakan hasrat mengutip dana dengan menggunakan saluran Sinar Harian selepas mendengar penjelasan mengenai Rumah Ngaji yang disifatkan selari dengan konsep sekolah tahfiz yang ingin diwujudkan.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi bendahari masjid, Amiruddin Ismail menerusi talian 019-9107508 atau menyalurkannya ke akaun Bank Muamalat 0305-0000133-71-3 (Amiruddin Ismail).

Difahamkan Masjid Mukim Gemang yang terletak berhampiran Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli dan Politeknik Jeli ini merupakan tempat persinggahan sebahagian besar perantau yang masuk ke negeri ini kerana terletak di laluan utama Lebuh Raya Timur - Barat.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 27 Mac 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan