Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 18 Mac 2015

KTD rancang kembangkan cawangan dan naik taraf status kolej

KOTA BHARU: Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) yang berpangkalan di Kota Bharu, Kelantan berhasrat untuk mengembangkan lagi cawangannya selain menaik taraf status kolej tersebut kepada kolej universiti dalam tempoh kurang daripada lima tahun.

KTD yang dimiliki EQ Resources Sdn. Bhd., ketika ini menawarkan 14 program yang melibatkan dua program Ijazah Sarjana Muda dan bakinya adalah program diploma hasil kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

“Kerjasama dengan KUIS lebih kepada Pengajian Islam manakala UTM pula adalah program-program pengurusan dan di bawah KTD sendiri kami menawarkan programprogram seperti multimedia dan pengurusan perniagaan.

Kami juga telah memohon untuk menawarkan program kejuruteraan elektronik industri,” kata Ketua Eksekutifnya, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman kepada Sinar Harian di sini.Menurut beliau, KTD telah berkembang melangkaui Kota Bharu dan kini telah mempunyai cawangan di Perlis dan cawangan baharu bakal dibuka di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, bagi mencapai status kolej universiti, KTD perlu mematuhi beberapa syarat yang telah ditetapkan Kerajaan dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) antaranya berkaitan keadaan kewangan dan kursus dalaman yang ditawarkan oleh KTD sendiri tanpa kerjasama dengan universiti atau institusi lain.

Matlamat tersebut pastinya dapat dicapai terutamanya apabila mendapat banyak bantuan daripada Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) yang menyediakan pelbagai kemudahan pembiayaan kepada syarikat-syarikat berpotensi besar seperti EQ Resources.

Kerjasama dengan MIDF sudah terjalin sejak 2012 iaitu apabila EQ Resources mahu membeli dua blok bangunan yang merangkumi 12 unit rumah kedai untuk dijadikan asrama pelajar KTD.

“Semasa kami mengambil alih KTD daripada kerajaan negeri, EQ Resources bukan sahaja mengambil alih program pendidikannya malah turut mengambil alih hutang-hutangnya yang berjumlah RM3 juta. Dari sudut kewangan, KTD terhad kerana di peringkat awal kami masih belum meminta bantuan daripada mana-mana pihak.

Tetapi apabila jumlah pelajar semakin meningkat, kita rasa perlu berbuat sesuatu untuk keselesaan pelajar dan dalam masa yang sama membuat perancangan untuk berkembang pada masa hadapan. 
Kami telah berhubung dengan MIDF dan di mana akhirnya kami membeli dua blok bangunan dan bangunan asrama penuh tersebut siap dibaik pulih dengan bantuan MIDF", ujarnya lagi sambil menambah kerjasama dengan MIDF tidak terhenti di situ sahaja. 

Sebuah bas baru dibeli menggantikan bas yang uzur bagi kemudahan kakitangan menjalani kursus berkala di Universiti Teknologi Malaysia serta aktiviti lain.

Menurut Dr. Abdullah, EQ Resources sedang mengadakan perbincangan dengan MIDF bagi mendapatkan bantuan untuk mengadakan persiapan pembukaan kolej baharu cawangan Kuala Lumpur.

MIDF menawarkan kemudahan pembiayaan dengan kadar faedah berpatutan dan fleksibel kepada para usahawan untuk mengembangkan perniagaan mereka dan membeli aset tetap serta mesin, peralatan dan kenderaan.

MIDF merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Sejak penubuhannya pada 30 Mac 1960, MIDF telah menyumbang secara langsung kepada pembangunan industri pembuatan dan perkhidmatan negara dalam bentuk pembiayaan kewangan khusus kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat-syarikat tempatan di dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Menurut Dr. Abdullah lagi, kejayaan tidak hanya diukur daripada segi akademik semata-mata malah akhlak yang murni perlu menjadi ciri-ciri penting warga KTD. Kami tidak meletakkan syarat kelayakan yang tinggi kepada pemohon untuk memasuki KTD kerana kami mahu memberi peluang kedua kepada mereka.

Ada ramai pelajar KTD yang datang daripada keluarga yang susah terutamanya dari Kelantan dan Sabah tetapi apabila diberikan peluang dan didikan yang sempurna, mereka berjaya di dalam pelajaran dan di tempat kerja.

Katanya, bekas-bekas pelajar KTD mempunyai displin tinggi, berakhlak sopan dan mampu mencatatkan kejayaan membanggakan biarpun bukanlah pelajar cemerlang peringkat Sijil Pelajaran Malaysia. Ini semua adalah didikan secara Islam di KTD kerana kami mahu mereka tidak hanya berjaya di dunia malah di akhirat.

Menurutnya, beliau pernah menerima maklum balas daripada sebuah syarikat korporat yang mengatakan surau di bangunan tersebut tidak lagi sunyi selepas bekas pelajar KTD bertugas sebagai jurutera di situ.

Memiliki hampir 900 pelajar yang majoritinya mengikuti program kerjasama dengan UTM, KTD menempatkan 40 pelajar antarabangsa yang datang daripada Indonesia, Kemboja, Thailand dan Kenya. Kebanyakan mereka sedang mengikuti program dalaman KTD seperti multimedia dan pengurusan perniagaan.

Memiliki 128 kakitangan dengan nisbah hampir 50:50 di antara pensyarah dan staf bukan akademik, KTD amat mementingkan nilai-nilai keislaman dan akhlak yang tinggi menjadi pegangan setiap warganya, sama ada pelajar mahupun kakitangan.


Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 18 Mac 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan