Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 10 Mac 2015

SPR jangka peratusan keluar mengundi PRK DUN Chempaka 70 peratus

KOTA BHARU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan keluar mengundi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Chempaka menurun kepada 70 peratus berbanding 85.9 peratus pada pilihan raya umum ke-13.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata ia berikutan hanya sebuah parti besar iaitu PAS sahaja yang bertanding dan tidak dicabar oleh Barisan Nasional (BN).

"Kami jangkakan ramai pengundi yang tak akan keluar atau pulang mengundi pada PRK DUN Chempaka kali ini kerana faktor berkenaan.

"Bagaimanapun SPR menggalakkan pengundi keluar beramai-ramai pada 22 Mac ini untuk menunaikan tanggungjawab mereka," katanya pada sidang media selepas tamat proses penamaan calon yang berlangsung di Dewan Bitara Maktab Rendah Sains MARA Pengkalan Chepa di sini, Selasa.

PRK DUN Chempaka menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon PAS dan empat calon bebas.

Calon PAS ialah Ketua Urusan Ulama PAS DUN Chempaka Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad, 42.

Empat calon bebas ialah bekas calon bebas PRK DUN Pengkalan Kubor Izat Bukhary Ismail Bukhary, 48; bekas Naib Presiden Perkasa Kelantan Sharif Mahmood, 59; Yang Dipertua Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang, Fadzillah Hussin, 55; dan pesara Kementerian Kesihatan Aslah Mamat, 64.

Abdul Aziz berkata keputusan PRK itu akan diumumkan selewat-lewatnya pukul 10 malam pada hari berkenaan.

Beliau berkata SPR juga telah menubuhkan dua pasukan penguatkuasa pilihan raya yang menjalankan rondaan 24 jam dan dianggotai pasukan polis, wakil Majlis Perbandaran Kota Baharu serta wakil calon-calon yang bertanding.

"Pasukan petugas ini diberi tanggungjawab untuk memantau keseluruhan aktiviti kempen yang dijalankan oleh calon-calon. Saya nasihatkan calon-calon supaya patuh kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 supaya pilihan raya kecil ini boleh berjalan dengan lancar," katanya.

Abdul Aziz turut menyifatkan proses penamaan calon pada kali ini sebagai sesuatu yang paling tenang pernah dijalankan berikutan tiada sebarang pergaduhan atau provokasi dilakukan oleh mana-mana penyokong calon yang bertanding.

"Saya harap keadaan ini akan berterusan sehingga PRK DUN Chempaka tamat," katanya.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 84, akibat kanser prostat pada 12 Feb lepas.

Pada pilihan raya umum ke-13, Nik Abdul Aziz yang juga bekas menteri besar Kelantan mengalahkan calon BN Wan Razman Wan Abdul Razak dengan majoriti 6,500 undi.

Nik Abdul Aziz memperoleh 12,310 undi manakala Wan Razman mendapat 5,810 undi.

Sumber: BERNAMA | 10 Mac 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan