Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 18 Mac 2015

RMK-11: Utamakan pembangunan Kelantan



KOTA BHARU: Barisan Nasional (BN) negeri berharap Kerajaan Pusat memberi perhatian terhadap pembangunan infrastruktur di negeri ini dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed (gambar) berkata, RMK-11 amat penting bagi negeri ini kerana perancangan tersebut me­rangkumi tempoh 2016 sehingga 2020, tahun yang mana Malaysia mencapai status negara maju.

Beliau berkata, justeru, pihak­nya menyokong penuh titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang meminta Kerajaan Pusat memberi perhatian kepada pembangunan infrastruktur di negeri ini.

“RMK-11, satu yang penting kerana penghujungnya pada tahun 2020, tahun negara mencapai negara taraf maju.

“Kita amat menyokong titah Sultan supaya Kelantan diberikan perhatian khususnya infrastruktur kerana negeri ini masih memerlukan infrastruktur yang lebih baik,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai titah Sultan Muhammad V ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Ke-13 di sini hari ini.

Dalam titahnya, baginda meminta Kerajaan Persekutuan memberi pertimbangan khusus kepada projek infrastruktur di negeri ini ketika penyediaan RMK-11 nanti.

Mustapa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas berkata, negeri ini dapat menarik lebih banyak pelabur dan pelancong sekiranya dilengkapi prasarana yang lebih baik.

Projek lebuh raya Kuala Krai - Kota Bharu, pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Pet­ra dan projek-projek lain pen­ting untuk menarik pelabur serta pelancong ke negeri ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya menjunjung kasih atas titah tuanku yang menyentuh tentang kerja-kerja bantuan banjir di negeri ini yang membabitkan kerjasama di antara kerajaan Pusat dan Kerajaan Pas Kelantan.

“Jawatankuasa bersama menangani pasca banjir negeri yang mana saya dan Menteri besar pengerusinya sudah ada empat mesyuarat dan tadi ada pertemuan ringkas di antara kami berdua.

“Kita akan pastikan kerja-kerja membina rumah kekal untuk mangsa banjir yang hilang rumah seratus peratus dan mempunyai tapak sendiri akan mendapat rumah kekal sebelum Hari Raya Aidilfitri ini,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | 16 Mac 2015 | Terbitan 17 Mac 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan