BACHOK: Kes kebakaran hutan dan sampah di Kelantan meningkat hampir tiga kali ganda sepanjang Januari hingga Febuari lepas berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Azmi Osman berkata sebanyak 144 kes direkod sepanjang tempoh berkenaan berbanding 55 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.
"Berdasarkan siasatan dan penelitian yang dibuat, kemungkinan besar kebanyakan kebakaran melibatkan perbuatan manusia selain faktor jenis tanah di kawasan kebakaran," katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi memadam kebakaran hutan di Kampung Beris Lalang di sini, pada Ahad.
Beliau berkata 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bachok termasuk tiga sukarelawan Bomba menyertai operasi memadam kebakaran hutan seluas 2.4 hektar itu.
Azmi berkata pihaknya juga masih melakukan kerja-kerja memadam kebakaran hutan di beberapa kawasan tompok panas yang baharu dikesan seluas 0.8 hektar di kampung sama.
"Sekiranya keadaan tidak terkawal, kita akan menggerakkan anggota bomba dari seluruh Kelantan untuk melaksanakan operasi pemadaman di kawasan tersebut," katanya.
Beliau yakin kerja pemadaman akan berjalan lancar walaupun kebanyakan kawasan tersebut adalah daripada tanah gambut yang mudah terbakar, selain berdepan masalah bekalan air.
"Kita juga menggunakan satu peralatan baharu iaitu "TST Smart Hose" yang mampu menyekat pergerakan api ke kawasan yang lebih besar," katanya.
Azmi berkata masyarakat perlu memberi perhatian terhadap kes kebakaran hutan dengan mengambil langkah pencegahan kerana selain membabitkan kos yang tinggi ia juga membahayakan nyawa.
Terdapat lebih 1,500 hektar tanah gambut di Bachok terutamanya di sekitar Kampung Beris Lalang.
Sumber: BERNAMA | 1 Mac 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan