Mohammad (depan) bersama beberapa wakil penduduk Taman Sentosa Pemuda menunjukkan air longkang bertakung, semalam. |
KOTA BHARU: Bau busuk najis dalam air bertakung dan menjadi tempat pembiakan nyamuk, memberikan tekanan kepada lebih 2,000 penduduk Taman Sentosa Pemuda, Wakaf Stan, sejak 12 tahun lalu hingga kini.
Walaupun hujan lebat hanya seketika, longkang di hadapan dan belakang rumah sepanjang hampir satu kilometer boleh tersumbat dan menimbulkan suasana tidak selesa kerana bau yang kurang menyenangkan.
Wakil penduduk, Mohammad Yusof, 61, berkata, masalah tersebut telah beberapa kali diadukan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), namun sehingga kini masih tiada tindakan diambil.
“Sudah kerap penduduk taman ini membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) kerana masalah longkang tersumbat ini menyusahkan kami namun sehingga kini ia belum selesai.
“Aduan juga dibuat kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), malah kedua-dua pihak berkenaan (MPKB-BRI dan JPP) sudah meninjau keadaan longkang di sini tetapi menghampakan apabila tidak ada perubahan dilakukan,” dakwanya kepada pemberita di Taman Sentosa Pemuda, Wakaf Stan, di sini, semalam.
Masalah longkang tersebut turut disuarakan Pengerusi Masjid Ibadur-Rahman Taman Sentosa, Wakaf Stan, Mohd Shukery Che Kob, 60, yang mendesak supaya pihak berkenaan segera bertindak kerana masalah itu turut menyumbang kepada pembiakan nyamuk.
“Boleh dikatakan sejak beberapa tahun lalu demam denggi berlaku di kawasan perumahan ini kerana nyamuk cepat membiak, bukan sekadar malam, waktu siang pun banyak nyamuk.
“Masalah di sini ialah tidak dibina longkang besar, menyebabkan longkang kecil tersumbat dan untuk bina longkang besar, lebih RM200,000 diperlukan untuk atasi masalah ini,” katanya.
Sementara itu, suri rumah, Kamariah Su, 55, berkata, penghuni 300 rumah di kawasan itu tidak tahan lagi berdepan masalah itu kerana pernah berlaku, air dari longkang bilik air rumahnya hampir memenuhi bilik tidurnya.
“Air yang tersumbat ini air najis dan ketika kejadian, saya dan keluarga terpaksa bertungkus-lumus menghalang air masuk ke bilik tidur.
“Kami sebenarnya cukup tertekan dan jika langsung tiada tindakan, kami berhasrat mahu buat bantahan jika perlu. Kami amat berharap keprihatinan pihak berkenaan untuk keselesaan penduduk,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, beliau dan pihak MPKB-BRI akan ke taman berkenaan untuk mengenal pasti punca sebenar hingga menyebabkan longkang tersebut tersumbat, sekali gus menyelesaikannya dalam masa terdekat.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 14 Mac 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan