Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 8 Mac 2015

Laman dan Menara Jam Kabutogani tarikan terbaharu di pusat bandar raya Kota Bharu

Abdul Fattah (kiri) mewakili Ahmad merasmikan Laman Kabutogani di pusat bandar raya Kota Bharu, malam kelmarin.
KOTA BHARU: Kawasan pusat bandar raya Kota Bharu atau ‘Padang Bas’ bakal dijadikan alternatif selepas Pasar Malam Wakaf Che Yeh yang kini hampir tidak mampu menampung jumlah pelancong yang masuk ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, dalam masa yang sama juga, ia juga akan mengembalikan memori ‘Padang Bas’ yang menjadi tarikan rakyat Kelantan sebelum ini.

“Dulu kawasan ini terkenal dengan gelaran ‘Padang Bas’, pelbagai gerai makanan dan pakaian wujud di sini, maka kita ingin kembalikan semula memori tersebut, tambahan pula dengan wujudnya Menara Jam Laman Kabutogani ini,” katanya semasa berucap mewakili Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, malam kelmarin.

Menurutnya, laman Kabutogani ini juga diharapkan akan menjadi cetusan baharu kepada pelancong luar dan dalam negara untuk dijadikan tempat ‘wajib lawat’ sebagaimana beberapa kawasan tarikan pelancong yang lain.

Beliau memberitahu, selain itu, kawasan tersebut juga boleh menjadikan Tambatan Diraja sebagai contoh, yang mana pelbagai aktiviti kekeluargaan diwujudkan terutamanya persembahan daripada KB Buskers dan kelab-kelab kebudayaan negeri.

“Mungkin malam tertentu seperti persembahan kebudayaan yang boleh dipertontonkan di sini, kita punyai banyak kebudayaan yang boleh dijadikan bahan ingatan kepada pelancong, maka inilah inisiatifnya.

Dalam masa yang sama kita harap laman ini akan diletakkan di dalam takwim pelancongan, khususnya tahun 2016 yang mungkin akan dijadikan tahun melawat Kelantan.

“Kita harapkan Kelantan selepas berdepan dengan situasi banjir ini akan bangkit kembali dengan penuh semangat, penuh jaya, terus kekal ceria dan bersih, selain terus menjadi tarikan kepada pelancong seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, Ahmad melalui teks yang dibaca Abdul Fattah turut berkata, laman tersebut diharapkan menjadi lambang kepada persahabatan akrab bandar raya Kota Bharu dan juga bandar raya Kasaoka, Jepun.

“Walaupun ia ditubuhkan sejak tahun 2005 dan kini dialih ke bahagian tengah kawasan dan dirasmikan sekali lagi, saya harap hubungan kedua-dua bandar ini yang bermula sejak 1999 akan terus terjalin dan akrab sebagaimana maksud sebenar kabutogani, iaitu belangkas,” katanya.

Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi Rohm Wako Japan, Yoshioka, kepimpinan tertinggi kerajaan negeri, serta ahli-ahli Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 8 Mac 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan