Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 10 Mac 2015

DUN Chempaka menonjol adanya kawasan industri dan lapangan terbang wilayah

KOTA BHARU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka lebih terkenal dengan Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa dan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

DUN Chempaka dengan keluasan 29.75 kilometer persegi meliputi 10 daerah mengundi iaitu Chempaka, Tanjung Baharu, Che Deris, Kampung Pulau Panjang, Teluk Kitang, Tebing Tinggi, Sabak, Pulau Gajah, Baung dan Pengkalan Nangka.

Terletak dalam jajahan Kota Bharu, penduduk rata-ratanya bekerja sebagai peniaga, kakitangan kerajaan dan swasta, sektor perkilangan dan nelayan.

Kira-kira 99 peratus penduduk di kawasan ini adalah Melayu manakala kaum lain adalah minoriti termasuk Cina (0.65 peratus), India (0.6 peratus) dan bumiputera (0.19 peratus).

DUN Chempaka mempunyai 21,890 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 20,390 pemilih biasa; 1,497 pemilih awal dan tiga orang pengundi tidak hadir luar negara.

Menariknya jumlah pengundi lelaki dan perempuan adalah hampir sama iaitu 10,908 lelaki manakala 10,982 perempuan.

DUN Chempaka menempatkan kem tentera iaitu Briged Kelapan Infantri, 21 Rejimen Askar Melayu Diraja (21 RAMD), 8 Semboyan dan Rejimen 806 Askar Wataniah.

Di kawasan ini juga terletaknya Universiti Malaysia Kelantan (UMK), sebuah sekolah menengah kebangsaan (SMK), dua sekolah menengah kebangsaan agama SMKA), enam sekolah kebangsaan (SK), lima klinik kesihatan, tujuh taman perumahan dan 10 masjid.

DUN Chempaka juga menyimpan sejarah negara yang mengikut rekod, Pantai Kuala Pak Amat di Pengkalan Chepa merupakan lokasi pertama pendaratan tentera Jepun di Tanah Melayu yang menandakan permulaan Perang Dunia di Asia Pasifik pada tengah malam 7 Dis 1941.

Pada 12.25 malam, 7 Dis 1941, sebanyak 5,503 tentera Jepun yang menggunakan lima kapal perang dan tiga kapal pengangkut mendarat di situ sebelum menakluki Kelantan, satu jam setengah lebih awal daripada serangan tentera Jepun ke atas Pearl Harbour, Hawaii.

DUN Chempaka merupakan satu daripada tiga DUN yang terletak dalam Parlimen Pengkalan Chepa, dua lagi DUN ialah Panchor dan Kijang.

DUN Chempaka dilihat sebagai kubu kuat PAS sejak PRU ke-7 (PRU7) pada 1986 selepas Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bertanding di kawasan berkenaan yang dahulunya dikenali sebagai DUN Semut Api.

PRK DUN Chempaka 22 Mac ini menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon PAS dan empat calon Bebas.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga bekas Menteri Besar Kelantan Nik Abdul Aziz pada 12 Feb lalu akibat kanser prostat.

Sumber: BERNAMA | 10 Mac 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan