BENTONG: Lebuh Raya Kuala Lumpur - Karak yang ditutup kepada trafik berikutan kejadian banjir lumpur di Kilometer 52.4 pada petang Rabu lepas, dibuka semula secara berperingkat mulai pukul 2 petang Sabtu.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof yang mengumumkan perkara itu berkata pembukaan peringkat pertama hari ini melibatkan laluan kontra satu lorong bagi kedua-dua hala dari Pantai Timur ke Kuala Lumpur dan sebaliknya.
"Laluan kontra ini bermula di Km52.4 dan berakhir di Km50. Pembukaan sepenuhnya lorong bagi kedua-dua hala dijangka dibuka pada esok jam 2 petang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Langkah membuka semula laluan lebuh raya tersebut dilakukan dua jam selepas Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah menitahkan supaya laluan itu dibuka kembali untuk kepentingan pengguna jalan raya.
Baginda mengeluarkan titah itu selepas meninjau keadaan di kawasan kejadian banjir lumpur itu, di sini.
Fadillah berkata kelewatan untuk membuka lorong kedua-dua hala adalah kerana pihak konsensi lebuh raya dalam proses membaik pulih permukaan jalan akibat banjir lumpur itu.
Dalam masa yang sama pengguna jalan raya diminta mematuhi papan tanda dan arahan yang diberikan oleh pihak berkuasa, katanya.
"Pengguna juga diminta berhati-hati semasa melalui lokasi aliran kontra berkenaan dan pihak Anih Berhad serta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan memantau lokasi kejadian dari semasa ke semasa demi keselamatan pengguna," katanya.
Beliau berkata pengguna jalan raya juga akan dimaklumkan dari semasa ke semasa berkenaan pembukaan laluan tersebut.
Kejadian tanah runtuh di Km52.4 berhampiran Lentang-Bukit Tinggi pada pukul 6.30 petang Rabu lepas menyebabkan sebahagian lebuh raya itu di kedua-dua arah tidak boleh dilalui.
Dalam insiden itu tiga buah kenderaan persendirian dan sebuah lori angkut terkandas di kawasan itu, namun kesemua pemilik kenderaan berjaya diselamatkan.
Banjir lumpur itu turut menjejaskan 14 keluarga membabitkan 73 orang di kuarters Jabatan Perhutanan Negeri Pahang yang terpaksa dipindahkan ke Masjid Lentang.
Sumber: Bernama | 14 Nov. 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan