Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 21 November 2015

RMK11: Kerajaan Persekutuan lulus projek naik taraf Hospital Tanah Merah

Hospital Tanah Merah, Kelantan.
KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan projek naik taraf Hospital Tanah Merah dalam Rolling Plan Pertama (RP-1) Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan perincian pelaksanaan perancangan teknikal projek berkenaan akan dimulakan dalam masa terdekat.

Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, kelulusan itu diumumkan oleh Menteri Kesihatan Datuk Dr. S.Subramaniam ketika menggulung perbahasan Bajet 2016 bagi Kementerian Kesihatan di Dewan Rakyat kelmarin.

Menurut Ikmal Hisham, dalam penggulungan itu, Subramiam memaklumkan skop projek naik taraf Hospital Tanah Merah yang merupakan hospital bertaraf pakar meliputi penambahan katil sebanyak 100 buah katil.

``Hospital itu juga akan dilengkapi dengan Unit Rawatan Rapi (ICU), Unit Rawatan Jantung (CCU) dan wad pergantungan tinggi (HDW),’’ katanya kepada Utusan Malaysia, di sini, hari ini.

Selain itu, jelas beliau, penaikan taraf itu turut melibatkan lima buah dewan bedah, kemudahan bagi perkhidmatan klinik pakar, perkhidmatan sokongan perubatan serta infrastruktur kejuruteraan yang terlibat.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di atas kelulusan kerajaan itu memandangkan saya telah mengusulkan projek ini ketika lawatan beliau pada 2013 ke Tanah Merah, iaitu dua bulan sebelum pilihan raya umum diadakan.

“Ketika itu antara permohonan saya ialah penambahan katil untuk hospital tersebut kerana ia tidak boleh menampung jumlah pesakit yang meningkat memandangkan Hospital Tanah Merah turut merawat penduduk dari Jeli, Machang dan Pasir Mas,” katanya.

Dalam pada itu, Ikmal Hisham berkata, Kementerian Kesihatan turut melaksanakan perolehan mesin CT scan untuk ditempatkan di hospital berkenaan yang ketika ini dalam proses akhir untuk menyediakan surat setuju terima (SST) kepada pembida yang berjaya.

“Kerja-kerja pemasangan mesin termasuk penyediaan tapak dijangka dimulakan bulan depan dan beroperasi sepenuhnya pertengahan tahun depan,” kata beliau.

Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 18 Nov. 2015 | Terbitan 19 Nov. 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan