KOTA BHARU: Orang ramai kini berpeluang untuk membeli pelbagai produk kraf yang dihasilkan usahawan tempatan sempena Festival Kraf Kelantan 2015 di Pintu Kota Sultan Ismail Petra di sini.
Festival 10 hari bermula 27 Nov lepas hingga 6 Dis ini dianjurkan Kraftangan Malaysia Negeri Kelantan, menampilkan 68 usahawan kraf dari Kelantan dan negeri lain.
Pengarah Kraftangan Malaysia Negeri Kelantan, Juhari Azmi berkata jualan produk kraf itu melibatkan enam kategori iaitu batik, songket dan tenun; seramik; perabot kayu; perak dan senjata; serta manik dan mutiara.
"Pengunjung juga berpeluang menyaksikan demonstrasi pembuatan kraf seperti anyaman rotan, seramik mambong, anyaman serkap, lukisan khat, logam barangan kemas dan ukiran kayu," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian festival itu oleh Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustapha di sini, hari ini.
Juhari berkata pengunjung juga berpeluang menyaksikan rekaan terbaharu batik oleh pereka muda yang diketengahkan untuk pasaran khususnya golongan muda.
Beliau juga menjangkakan nilai jualan pada festival itu meningkat kepada RM500,000 berbanding RM430,000 pada festival sama tahun lepas.
Katanya festival itu antara lain bertujuan membantu usahawan kraf mendapatkan pasaran baharu di samping mendekatkan produk kraf kepada orang ramai dan pelancong.
Dalam pada itu, Makhtar berkata kerajaan persekutuan sentiasa berusaha membantu mengembangkan industri kraf termasuk memberi kemahiran dan teknologi baharu kepada pengusaha kraf agar dapat menghasilkan produk yang lebih berkualiti.
Beliau berkata pelbagai kursus kemahiran disediakan Kraftangan Malaysia selain lawatan sambil belajar ke luar negara bagi mendedahkan usahawan kepada industri kraf yang lebih maju.
Katanya Kerajaan Persekutuan membelanjakan RM1.2 juta bagi membantu para usahawan kraf di Kelantan yang terjejas akibat banjir akhir tahun lepas termasuk bantuan membaik pulih bengkel serta peralatan.
Sumber: Bernama | 29 Nov. 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan