KUALA NERUS: Polis Terengganu menafikan dakwaan yang mengatakan penguatkuasaan undang-undang yang dijalankan di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) tidak sah berikutan laluan itu belum diwartakan.
Sebaliknya, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP Wan Abdul Aziz Wan Hamzah menegaskan laluan sejauh 184 kilometer bermula dari Gemuruh di Kuala Terengganu sehingga Jabor, Kemaman telah diwartakan secara berperingkat.
Katanya walaupun tiada sebarang kutipan tol dilaksanakan sejak LPT2 dibuka mengikut jajaran, namun ia telah diwartakan.
"Komen serta viral yang tersebar luas di media sosial mengatakan polis melakukan kesalahan kerana mengambil tindakan undang-undang kepada pengguna lebuh raya itu adalah tidak benar sama sekali," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Selasa.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas viral yang tercetus di media sosial berhubung tindakan undang-undang yang dilaksanakan pihak berkuasa di LPT2 itu.
Selain itu, katanya dakwaan yang mengatakan mangsa kemalangan tidak dapat membuat sebarang tuntutan insurans juga tidak berasas.
Justeru beliau meminta orang ramai menghentikan tindakan menyebarkan berita yang tidak benar dan mengelirukan ramai pihak.
"Saya harap orang ramai mahupun individu yang tidak bertanggungjawab itu dapat hentikan penyebaran berita yang tidak berasas ini kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai," katanya.
Sumber: Bernama | 10 Nov. 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan