KOTA BHARU: Seorang bekas sarjan tentera dijatuhi hukuman penjara 20 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kota Baharu hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang kerani sekolah dua tahun lepas menggunakan bahan letupan.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Che Rosli Che Daud, 31, dan memerintahkannya menjalani hukuman bermula dari tarikh ditangkap pada 13 Ogos 2013.
Tertuduh didapati bersalah menyebabkan kematian Mohd Yusrizal Mat Zain, 34, menggunakan bahan letupan di hadapan sebuah rumah di alamat Lot 127, Blok N, Perumahan JPN Kok Seraya Chabang Empat, Tumpat antara pukul 10 hingga 11 pagi, 11 Ogos 2013.
Bagi perbuatan itu, dalam pertuduhan pilihan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan iaitu membunuh dengan niat yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda.
Dalam penghakimannya, Azman berkata kematian mangsa adalah sangat tragis kerana berlaku beberapa hari selepas Hari Raya Aidilfitri di hadapan keluarga mangsa sendiri.
"Nasi telah menjadi bubur dan apa yang berlaku telah berlaku. Adalah jelas bahawa kedua-dua pihak yang terlibat iaitu tertuduh akan berada di dalam penjara tanpa mempunyai kebebasan manakala keluarga mangsa akan terus dalam keadaan hiba," katanya.
Terdahulu, peguam tertuduh, Datuk Shukri Mohamed dalam rayuannya berkata tertuduh telah insaf dan mengakui perbuatannya.
"Si mati juga bukan merupakan sasaran tertuduh dan mereka tidak mengenali satu sama lain, tetapi nasib malang menimpa si mati apabila terpegang bahan letupan itu. Tertuduh juga tidak berniat untuk melakukan sesuatu yang menyebabkan kematian," katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ainul Wardiah Shahidan dalam hujahannya berkata tertuduh wajar dijatuhi hukuman setimpal di atas kesalahannya dengan mengambil kira kepentingan umum.
"Tertuduh mempunyai kepakaran membuat sesuatu bahan letupan dan tahu ia boleh menyebabkan kematian serta bertindak kerana cemburu. Perbuatan tertuduh adalah sangat keterlaluan dan melulu," katanya.
Sumber: Bernama | 18 Nov. 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan