Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 5 November 2015

Kerajaan Kelantan digesa selesai milikan tanah 29,000 peneroka

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan hari ini digesa menyelesaikan masalah milikan tanah melibatkan kira-kira 29,000 peneroka di Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah dan Jeli.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Datuk Nozula Mat Diah berkata ini bagi membolehkan peneroka berkenaan mendapatkan pelbagai bantuan daripada kerajaan Persekutuan.

"Kerajaan negeri tak perlu selesaikan masalah milikan tanah peneroka Felda ataupun Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) kerana mereka ini telah terbela, tapi kena selesaikan masalah milikan tanah peneroka individu ini.

"Ramai peneroka gagal dapatkan pelbagai bantuan kerana tiada milikan tanah sendiri sedangkan ramai yang nak tanam semula kebun mereka," katanya ketika membahaskan Bajet 2016 pada persidangan DUN di sini, Rabu.

Nozula (BN-Paloh) berkata jika perkara berkenaan dapat diselesaikan, ia akan membantu meningkatkan pendapatan peneroka ketika harga komoditi seperti getah dan kelapa sawit tidak menentu di pasaran dunia.

"Ketika ini, ramai peneroka yang nak tanam kelapa sawit kerana lebih senang diuruskan berbanding getah selain pulangan yang lebih menguntungkan, namun mereka tak boleh nak guna bantuan yang diberi oleh kerajaan Persekutuan kerana tiada geran," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan Persekutuan tidak pernah menganaktirikan Kelantan dalam pelbagai aspek terutama kebajikan kepada rakyat negeri ini.

Beliau berkata, dalam Bajet 2016 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat baru-baru ini, kerajaan Persekutuan memperuntukkan bantuan secara tidak langsung sebanyak kira-kira RM1.2 bilion kepada Kelantan.

"Manakala pada tahun ini sahaja, kerajaan Persekutuan telah peruntukkan sebanyak RM80.34 juta untuk bantuan baik pulih rumah, RM365 juta untuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 513,000 penduduk serta meluluskan pinjaman berjumlah RM66 juta kepada 6,822 usahawan di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional).

"Bukan itu sahaja, sebanyak RM129 juta telah diperuntukkan bagi membina dan membaikpulih 365 masjid serta 1,933 surau," katanya.

Sumber: Bernama | 4 Nov. 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan