Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 17 November 2015

Pelabuhan Kuantan bakal jadi pelabuhan dalam bertaraf dunia

KUANTAN: Kerajaan Pahang menyasar untuk menjadikan Pelabuhan Kuantan sebagai pelabuhan dalam bertaraf dunia dalam tempoh selewat-lewatnya dua tahun akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri Ir. Mohd Soffi Abd Razak berkata kerja menaik taraf kemudahan asas dan pembesaran kini giat dilakukan bagi tujuan tersebut melibatkan usaha sama antara pihak swasta dan kerajaan dengan kos RM6 bilion.

"Pelabuhan Kuantan merupakan antara pelabuhan yang strategik kerana kedudukannya di Laut China Selatan dan terletak antara laluan penting di Rantau ASEAN.

"Pihak Kuantan Port Konsortium telah berusaha menjadikan pelabuhan ini sebagai hab logistik utama sebelah Pantai Timur dan pelabuhan bertaraf dunia pada masa akan datang dengan kerja pembesaran dan menaik taraf kemudahan yang kini sedang giat dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-13 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini semasa menjawab soalan Datuk Lau Lee (BN-Damak) tentang perkembangan terkini Pelabuhan Kuantan.

Menurutnya kini, terdapat sebanyak 22 buah dermaga di Pelabuhan Kuantan yang berkemampuan untuk mengendalikan kapal dengan benaman 11.2 meter dan ia mencukupi bagi mengendalikan kapal kargo komersial sedia ada.

Beliau berkata, fasa pembesaran dan menaik taraf Pelabuhan Kuantan pula melibatkan kerja pembinaan pemecah ombak, pengerukan kapital, penambakan tanah serta pembinaan dermaga baharu yang dimulakan pada 2013.

"Pembinaan pemecah ombak sepanjang 4.7 kilometer pula telah dimulakan pada April 2013 dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung 2017.

"Untuk kerja penambakan tanah bagi pembinaan dermaga terminal laut dalam baharu dengan kapasiti 200,000 dead weight tonnage serta alur pelayaran sedalam 16 meter pula telah dimulakan pada awal tahun ini dan akan siap pada pertengahan tahun 2018," katanya.

Berhubung masalah bauksit di Pelabuhan Kuantan, Mohd Soffi berkata pihak pelabuhan telah mengambil empat langkah bagi mengatasi masalah tersebut iaitu dengan membina struktur penghalang aliran air di kawasan penyimpanan stok bauksit untuk mengelakkan ia memasuki sungai dan Pantai Pengorak.

Katanya, satu langkah sistem cucian bersepadu juga dijalankan untuk membersihkan jalan raya daripada debu bauksit selain membina laluan sehala untuk lori bauksit yang memasuki kawasan pelabuhan bagi memastikan kotoran pada tayar kenderaan itu dibersihkan.

"Pihak pelabuhan juga turut membina struktur 'windbreakers' setinggi sembilan meter untuk menghalang debu-debu dari kawasan penyimpanan stok terbang ke premis berhampiran kawasan pelabuhan," katanya.

Sumber: Bernama | 17 Nov. 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan