Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 10 November 2015

Jualan batik jana RM144 juta daripada RM444 juta nilai jualan industri kraf

KOTA BHARU: Jualan batik menjana sebanyak RM144 juta atau 32 peratus daripada RM444 juta nilai jualan keseluruhan industri kraf negara sehingga September tahun ini, kata Pengerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod.

Beliau berkata seramai 5,067 usahawan kraf telah berdaftar dan terlibat aktif dengan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

Daripada jumlah itu, seramai 1,493 orang adalah usahawan kraf tekstil di mana 604 adalah usahawan batik, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Sijil Pematuhan Standard MS 692:2007 Batik Malaysia yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Zuraida Mokhtar di Kraftangan Malaysia Kelantan di sini Isnin.

Seramai 51 usahawan batik di seluruh negara menerima Sijil Pematuhan Standard MS 692:2007 Batik Malaysia berikutan kejayaan menghasilkan batik mematuhi piawaian yang ditetapkan.

Siti Azizah berkata daripada jumlah itu, seramai 38 usahawan adalah dari Kelantan, manakala selebihnya dari Terengganu, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Sabah.

"Semua usahawan kraf batik yang menerima sijil hari ini telah melepasi ujian sampel kain batik yang diuji di Makmal Standard Batik Kraftangan Malaysia di Kelantan," katanya.

Beliau berkata sijil pematuhan itu menjadi pelengkap kepada kemajuan industri batik melalui kualiti pengeluaran yang konsisten dan mampu bersaing di pasaran antarabangsa.

"Penggunaan kualiti ini juga akan menjadi tanda aras terpenting keaslian mutu produk batik yang dihasilkan seterusnya memberi keyakinan kepada pembeli," katanya.

Standard Malaysia MS 692:2007 Batik Malaysia telah dibangunkan dengan kerjasama SIRIM Bhd dan Jabatan Standard Malaysia. Standard kualiti ini menentukan definisi, keperluan bahan, spesifikasi teknik, proses, kaedah ujian dan tugas perlabelan tekstil yang ditakrifkan sebagai 'Batik Malaysia'.

Antara kaedah ujian yang dilakukan termasuk ujian kelunturan warna, ujian nilai estrak pH cecair, ujian sisa pelupusan lilin, ujian penentuan bahan larut air, ujian perubahan dimensi dan ujian kekuatan regangan produk siap.

Sumber: Bernama | 9 Nov. 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan