Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 17 November 2015

Peniaga mahu pihak berkuasa selesai isu penutupan laluan ke Thailand

PASIR MAS: Peniaga di Kawasan Bebas Cukai Rantau Panjang meminta pihak berkuasa menyelesaikan isu penutupan laluan terus ke Thailand yang menyukarkan urusan perniagaan mereka sejak 15 bulan lepas.

Seorang peniaga, Jeffry Alee, 49, berkata ia menyebabkan peniaga terpaksa berkongsi laluan dengan orang awam di laluan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang untuk mengeksport barangan ke Thailand.

"Berikutan itu, peniaga akan dikenakan cukai apabila melalui ICQS Rantau Panjang berbanding melalui laluan terus ke Thailand yang tidak dikenakan cukai," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perbincangan Isu Peniaga Kawasan Bebas Cukai Rantau Panjang di Pejabat Kastam Diraja Malaysia Rantau Panjang di sini, Selasa.

Lebih 40 peniaga kawasan bebas cukai itu hadir dalam perbincangan yang berlangsung lebih dua jam yang membincangkan masalahan berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Imigresen Kelantan Abdullah Daud ketika dihubungi berkata penutupan laluan tersebut dilakukan hasil perbincangan dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan bagi mengekang aktiviti penyeludupan dan mereka yang mengelak membayar cukai.

"Laluan tersebut sebelum ini dikhaskan kepada warga Thailand sahaja yang memasuki kawasan bebas cukai Rantau Panjang.

"Bagaimanapun kita kesan ada pihak yang menyalahgunakan laluan itu untuk menyeludup barangan malah manusia...jadi kita putuskan untuk menutup laluan tersebut," katanya.

Beliau berkata sebuah laluan khas untuk peniaga juga telah diwujudkan di ICQS Rantau Panjang bagi memudahkan peniaga keluar masuk.

"Tiada alasan untuk mereka mendesak pihak berkuasa membuka semula laluan tersebut kerana semua kemudahan telah disediakan. Kita nasihatkan mereka dapat mematuhi peraturan yang ditetapkan," katanya.

Sumber: Bernama | 17 Nov. 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan