Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 18 November 2015

Projek perintis HUSM edar gelang aplikasi 'ADNAN' bantu pesakit

KOTA BHARU: Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan menjadi negeri pertama yang terpilih bagi projek perintis gelang 'Advance Dialysis Nephrology Application Network' (ADNAN) untuk diedarkan kepada pesakit terlibat ketika musim banjir.

Pembinaan aplikasi ADNAN itu merupakan usahasama kepakaran Universiti Sains Malaysia (USM) dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melibatkan seramai lebih 1,000 pesakit yang menjalani rawatan hemodialisis di Kelantan akan menerima gelang itu.

Ketua Unit Penyakit Ginjal Kronik (CKD) HUSM Prof Madya Dr Azreen Syazril Adnan berkata sistem itu akan membolehkan semua perkhidmatan dialisis dapat diselaraskan dengan cekap dan penyelidikan untuk penambahbaikan sistem berkenaan berdasarkan data-data yang diterima.

"Langkah itu bagi memudahkan pihak berkuasa atau badan bukan kerajaan (NGO) yang berkhidmat ketika banjir mengenal pasti pesakit melalui gelang itu mendapat rawatan hemodialisis di Pusat Jagaan Pesakit Dialisis Mangsa Banjir HUSM.

"Gelang yang dipakai pesakit mempunyai cip data yang berfungsi sama seperti 'punch card' (kad perakam waktu) yang perlu diletakkan pada satu alat supaya doktor atau staf bertanggungjawab akan dapat melihat maklumat pesakit di dalam komputer," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, Rabu.

Beliau berkata setakat ini, HUSM telah mengagihkan gelang itu kepada kira-kira 60 peratus pesakit terlibat (daripada 1,000 pesakit) manakala selebihnya akan diserahkan dalam tempoh dua minggu ini.

Dr Azreen Syazril yang juga Pakar Perunding Nefrologi dan Perubatan HUSM berkata maklumat yang terdapat pada gelang itu termasuk nama dan nombor kad pengenalan pesakit, doktor yang memberi rawatan, pusat dialisis, status hepatitis dan kumpulan darah pesakit.

Beliau berkata program itu dibangunkan berdasarkan penyelidikan yang bermula pada 2013 dan pengalamannya mengetuai pasukan pengurusan pesakit buah pinggang ketika bencana banjir tahun lepas itu dapat dikongsi bersama jabatan dan agensi berkaitan seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

"Kami harap pelaksanaan sistem ini dapat mengatasi masalah tersebut dan Pusat Jagaan Pesakit Dialisis Mangsa Banjir HUSM yang mempunyai 100 pembantu perubatan dan tujuh pakar nefrologi dapat berfungsi sebaik mungkin," katanya.

Sementara itu, beliau berkata pesakit dialisis dinasihatkan berpindah ke pusat pemindahan banjir berhampiran HUSM bagi memudahkan mereka mendapatkan rawatan ketika banjir.

Beliau berkata pihak HUSM juga telah meningkatkan kemudahan di unit hemodialisis yang mampu menampung seramai 360 pesakit dialisis setiap hari.

Sumber: Bernama | 18 Nov. 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan