Mohamad Shukri Mohamad. |
PETALING JAYA: Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menggesa majlis agama Islam setiap negeri supaya menambah baik mekanisme untuk meningkatkan ilmu agama dan taraf sosioekonomi dalam kalangan saudara baharu.
Beliau berkata, penambahbaikan itu penting untuk memastikan saudara baharu tidak terpinggir termasuk dari segi pengagihan bantuan zakat.
"Sistem pentadbiran majlis agama di setiap negeri adalah berbeza. Jadi peraturan agihan zakat mahupun jenis-jenis bantuan kepada golongan ini adalah mengikut ketetapan negeri masing-masing," katanya kepada mStar Online.
Mengakui Majlis Agama Islam Kelantan (Maik) ada beberapa kelemahan termasuk kerana tiada rumah transit untuk lapan asnaf, Mohamad Shukri berkata, bagaimanapun pentadbir agama negeri itu menyediakan kiosk untuk golongan layak zakat itu berniaga.
"Kita juga akan maklumkan jika ada sebarang acara tertentu untuk membolehkan mereka memasarkan produk bagi menjana pendapatan," katanya.
Jelas beliau lagi, zakat sebenarnya bertujuan membantu membangunkan iman dan sosioekonomi mualaf kerana ada di kalangan saudara baharu yang berdepan kesukaran seperti diberhentikan kerja dan dipinggirkan keluarga.
"Dengan pemberian zakat, kita dapat bantu perkuatkan ilmu agama dan ekonomi mereka. Dua perkara ini penting. Jika ilmu agama mereka cukup dan ekonomi dijaga, Insya-Allah mereka tidak akan kembali ke agama asal," katanya.
Mohamad Shukri berkata, bagi mualaf di Kelantan, mereka akan menerima duit poket dan elaun kelas agama sebaik sahaja mendaftar di Maik.
"Hari ini sebaik memeluk Islam dan mendaftar di agensi berwajib, mualaf akan memperoleh agihan bantuan termasuk duit poket, elaun kelas agama untuk kursus selama masa tertentu sudah disediakan," katanya.
Sumber: mStar Online | 5 Nov. 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan