Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 22 November 2015

Pembinaan 32 unit rumah mangsa banjir Aring 2 di peringkat akhir perbincangan

GUA MUSANG: Pembinaan 32 unit rumah kekal untuk mangsa banjir di Aring 2 dekat sini, kini pada peringkat akhir perbincangan, kata Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Datuk Nozula Mat Diah.

Beliau berkata Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) telah bersetuju menyediakan tapak rumah dalam kawasannya, namun proses pembinaan perlu mendapat kelulusan daripada kerajaan Kelantan.

"Tapak rumah baharu yang disediakan oleh Felda ini tidak jauh daripada rumah asal penduduk dan terletak berdekatan jalan utama Gua Musang-Kuala Berang (Terengganu)," katanya ketika ditemui Bernama di sini, Ahad.

Nozula yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, bagaimanapun tidak menjelaskan keluasan tanah yang disediakan Felda dan kos diperlukan bagi tujuan pembinaan 32 unit rumah kekal berkenaan.

Katanya pada masa ini, 32 keluarga yang kehilangan rumah dalam kejadian banjir tahun lepas itu, masih lagi tinggal di dalam khemah kerana mereka tidak dibenarkan membina rumah sementara di tapak lama rumah masing-masing, yang dikhuatiri dinaiki air ketika hujan lebat.

Mengenai persiapan banjir bagi jajahan itu, Nozula yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berkata pusat-pusat pemindahan banjir telah disediakan di beberapa kawasan tinggi dan penduduk dinasihatkan membuat persiapan awal.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bencana Banjir Jajahan Gua Musang, Tuan Zainal Abidin Tuan Yusoff berkata 43 pusat pemindahan banjir dan 13 pangkalan hadapan disediakan di jajahan itu bagi menghadapi kemungkinan banjir tahun ini.

Beliau berkata pusat pemindahan yang disediakan itu dapat memuatkan ribuan penduduk dalam satu masa dengan pertambahan sebanyak 16 pusat pemindahan tahun ini, berbanding hanya 27 pusat tahun lepas.

"Kita telah mengenal pasti pusat pemindahan banjir di kawasan tinggi yang melibatkan dewan serbaguna, sekolah dan rumah transit," katanya kepada pemberita pada majlis penutup Pesta Flora dan Organik di Jajahan Kecil Lojing di sini, Ahad.

Beliau berkata keperluan asas dan makanan juga telah dihantar ke pangkalan hadapan, sebelum diagih ke pusat pemindahan banjir.

Dalam pada itu, beliau berkata Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Muhammad Fakry Petra di Kampung Lembaga, tidak lagi disenaraikan sebagai pusat pemindahan banjir pada tahun ini, selepas ia turut ditenggelami air dalam bencana itu tahun lepas.

Katanya SK Sri Wangi yang berdekatan dengan Bandar Baharu Gua Musang telah diwartakan sebagai pusat pemindahan baharu bagi menggantikan SK Tengku Muhammad Fakry Petra.

Sumber: Bernama | 22 Nov. 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan