KUALA LUMPUR: Hujan lebat monsun dijangka berlaku di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung bermula Khamis atau Jumaat depan, selama tiga hingga lima hari.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Datuk Che Gayah Ismail berkata, fenomena hujan lebat itu disebabkan terdapatnya tanda-tanda Luruan Sejuk yang bakal melanda selepas Rabu.
"Luruan sejuk adalah udara sejuk bertekanan tinggi dari Siberia dan China menyebabkan angin bertiup sehingga ke kawasan kita (Malaysia).
"Oleh itu, hujan lebat akan berlaku satu atau dua hari selepas luruan sejuk kerana ia mengambil masa untuk angin itu sampai ke negara kita," katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata keadaan itu juga berkemungkinan boleh menyebabkan banjir di kawasan terjejas berikutan hujan lebat selama tiga hari, dan paling lama sehingga lima hari.
"Disebabkan masa masih panjang iaitu enam hingga tujuh hari sebelum ramalan itu terjadi, ketepatan tinjauan hujan lebat monsun adalah sekitar 60 hingga 65 peratus tepat," katanya.
Sementara itu, MetMalaysia dalam kenyataan di portalnya, berkata keadaan cuaca lembap seperti berlaku kini, dijangka berterusan dengan hujan di satu atau dua tempat di kawasan pantai negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung, Sarawak dan Timur Sabah pada awal pagi.
Pada waktu petang dan malam pula, hujan dan ribut petir dijangka berlaku di beberapa tempat di negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung, pedalaman Pahang, Sarawak dan Bahagian Barat Sabah, menurut kenyataan itu.
Sumber: Bernama | 20 Nov. 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan