Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 19 November 2015

Kelantan nikmati transformasi projek pembangunan ECER

Pelaburan sebanyak RM12.2 bilion; Lebih 10,000 penduduk tempatan mendapat manfaat daripada Program-program Pembangunan Modal Insan & Keusahawanan ECER


KOTA BHARU: Negeri Kelantan dan rakyatnya telah mendapat manfaat daripada pelbagai projek dan program yang dijalankan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), seperti yang dapat dilihat melalui lonjakan pelaburan di negeri ini, serta peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan baharu yang berjaya diwujudkan untuk penduduk tempatan.

Kerajaan Persekutuan melalui ECERDC telah meluluskan peruntukan sebanyak RM688 juta bagi pelaksanaan 31 projek dan program berimpak tinggi di Kelantan, sebagai sebahagian daripada usaha menjadikan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sebuah wilayah maju menjelang 2020.

Sejak ECER ditubuhkan pada tahun 2007 sehingga September tahun ini, negeri Kelantan telah berjaya menarik pelaburan swasta bernilai RM12.2 bilion, atau 14.7 peratus daripada jumlah pelaburan terkumpul di ECER setakat ini, yang akan mewujudkan 12,555 peluang pekerjaan baharu bagi penduduk tempatan,” kata Menteri Besar Kelantan, YAB Ustaz Dato’ Haji Ahmad bin Yakob.

Beliau bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC ECER) Kelantan yang ketiga bagi tahun 2015 di sini hari ini. Turut hadir di sidang media tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, YBhg. Datuk Seri Jebasingam Issace John.

“Pelaburan-pelaburan yang diterima di Kelantan telah berjaya mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada rakyat tempatan, yang secara langsung membantu membangunkan tahap sosioekonomi dan ekonomi modal di negeri Kelantan khususnya, dan ECER amnya, selaras dengan matlamat ekonomi berteraskan rakyat (people economy) yang inklusif dan mampan,” kata beliau.

Sektor pembuatan merupakan penyumbang terbesar kepada pelaburan di Kelantan dengan 55.9 peratus, diikuti oleh logistik (16.4 peratus), pelancongan (10.6 peratus) dan hartanah (9.8 peratus).

Antara pelaburan-pelaburan yang telah pun direalisasi di Kelantan sejak 2007 sehingga kini ialah dua pelaburan berjumlah RM1.2 billion setiap satu untuk pembinaan kilang simen bersepadu di Gua Musang, iaitu oleh ASN Cement Industries Sdn Bhd (400 peluang pekerjaan) dan Biz Markz Cement Industries Sdn Bhd (115 peluang pekerjaan). Di samping itu, Permodalan Nasional Berhad turut melabur RM125.46 juta untuk pembangunan Hotel Perdana di Kota Bharu.

Kelantan turut menerima komitmen pelaburan daripada Tok Bali Supply Base Sdn Bhd yang mengendalikan Pangkalan Pembekalan Tok Bali, dengan jumlah pelaburan sebanyak RM200 juta yang akan mewujudkan 350 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat tempatan. Bagi tahun 2015 sahaja, jumlah pelaburan yang diterima di Kelantan adalah sebanyak RM729.4 juta.

Sementara itu, Program Pembangunan Modal Insan dan Keusahawanan ECERDC seperti empower ECER, entrepreneur ECER, Program Peningkatan Graduan ECER (ETEP), TERAJU@ECER, dan program pembasmian kemiskinan Agropolitan, telah memberi manfaat kepada lebih 10,000 rakyat di Kelantan yang kini berupaya menikmati pendapatan yang lebih tinggi dan prestasi akademik yang lebih baik hasil penyertaan dalam program-program tersebut.

“Pencapaian ini berjaya direalisasikan melalui projek-projek dan program yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui ECERDC dengan kerjasama rapat Kerajaan Negeri,” kata YAB Ustaz Dato’ Haji Ahmad.

Tambah beliau, pelaksanaan program dan projek di Kelantan adalah berlandaskan pendekatan ekonomi berteraskan modal dan ekonomi berteraskan rakyat, bagi memastikan limpahan kemakmuran yang wujud hasil daripada inisiatif transformasi ECER turut dinikmati oleh penduduk tempatan.

Sementara itu, program-program pembangunan modal insan dan keusahawanan ECER akan membantu memastikan kesediaan tenaga mahir di ECER yang mampu memenuhi keperluan dan kehendak para pelabur, serta kewujudan kumpulan usahawan tempatan yang mampu menyediakan ekosistem perniagaan sokongan di Wilayah ini.

empower ECER adalah salah satu program pembangunan modal insan yang dijalankan oleh ECERDC yang bertujuan memperkasakan masyarakat tempatan di ECER melalui Latihan Akademik dan Latihan Kemahiran & Keusahawanan. Program ini adalah sebahagian daripada usaha ECERDC untuk merapatkan jurang ketidakseimbangan di antara wilayah dan menangani kemiskinan luar bandar dan golongan bawahan 40% (B40) di wilayah ini, selaras dengan pendekatan inklusif Kerajaan ke arah menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

Di Kelantan, empower ECER kini dilaksanakan di Jeli, Bachok dan Ketereh. Program Latihan Akademik empower ECER telah memberi manfaat kepada 6,740 pelajar di negeri ini, yang telah berjaya memperolehi keputusan akademik yang lebih baik selepas mengikuti program ini.

Sementara itu, Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER direka terutamanya untuk golongan menganggur, mereka yang berpendapatan rendah dan ibu tunggal, dengan objektif untuk membekalkan mereka dengan latihan kemahiran dan ilmu keusahawanan yang mencukupi bagi meningkatkan kebolehpasaran dan keupayaan mereka untuk mendapat pekerjaan.

Bagi peserta dewasa, adalah dianggarkan sehingga 80% daripada mereka akan mendapat pekerjaan selepas menamatkan kursus mereka atau mempunyai pengetahuan yang mencukupi dan pengalaman praktikal untuk memulakan perniagaan mereka sendiri. Di Kelantan, seramai 2,220 peserta telah mendapat manfaat daripada program ini dan berupaya menikmati pendapatan tambahan antara RM500 dan RM1,500 sebulan, atau lebih.

Program entrepreneur ECER, yang merupakan satu inisiatif pembangunan keushawaanan yang dilaksanakan dengan kerjasama SIRIM, Agrobank dan Maybank, telah memberi manfaat kepada lebih 2,000 usahawan di ECER, yang mana 617 daripadanya adalah dari Kelantan.

Daripada jumlah tersebut, seramai 509 usahawan Kelantan telah menerima bantuan kewangan melalui skim pinjaman mudah ECERDC-Agrobank sehingga September tahun ini, manakala 55 lagi telah mendapat manfaat daripada bantuan kewangan yang ditawarkan di bawah Skim Keusahawanan ECER-Maybank. Sejumlah 53 usahawan pula telah mendapat manfaat daripada progam pembangunan produk dan pemasaran yang disediakan di bawah kerjasama ECERDC dan SIRIM untuk membawa perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi, termasuklah mengeksport produk mereka ke luar negara.

Dalam usaha membantu usahawan tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa, ECERDC baru-baru ini membawa enam peserta entrepreneur ECER, termasuk dua dari Kelantan, ke Ekspo China-ASEAN ke-12 (CAEXPO) 2015 yang berlangsung di Nanning, China pada 18 hingga 21 September 2015 untuk mempamerkan produk-produk halal mereka di acara tersebut. Syarikat-syarikat dari Kelantan tersebut terdiri daripada Mitra Food Industries dan MH Mohd Industries Sdn Bhd.

Inisiatif Teraju@ECER diperkenalkan oleh pihak Kerajaan selaras dengan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera. Sejak dilancarkan pada tahun 2012 sehingga September tahun ini, ia telah memanfaatkan 147 syarikat Bumiputera di ECER, termasuk 38 syarikat dari Kelantan. Mereka terdiri daripada 16 Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (TeraS) yang telah diberi bimbingan perniagaan dan perundingan untuk mengembangkan perniagaan mereka, dan 22 syarikat Bumiputera dengan pelaburan bernilai RM436.5 juta yang telah diberi kemudahan Dana Mudahcara TERAJU berjumlah RM49.3 juta setakat akhir September 2015.

Antara syarikat-syarikat TERAJU tersebut ialah AUEI Teras Holdings Sdn Bhd, Menara One Resources Sdn Bhd, Atira Development (M) Sdn Bhd, Rushdan Yusoff Properties Sdn. Bhd, Bumi Technopreneur Sdn Bhd dan Komitmen Mantap Sdn Bhd.

Program ETEP pula akan dimulakan di Kelantan pada Disember 2015 dengan penyertaan hampir 300 peserta. ETEP melibatkan perkongsian pintar antara ECERDC dan pelabur di ECER, di mana para graduan tempatan diberi latihan di tempat kerja, yang diikuti oleh penempatan pekerjaan di syarikat pelabur.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk membasmi kemiskinan di rantau ini, ECERDC telah melancarkan Projek Agropolitan Kelantan Selatan (SKA) pada tahun 2009, yang kini melibatkan penyertaan 625 peserta dan keluarga mereka yang kebanyakannya datang dari latar belakang miskin. Perladangan kelapa sawit menjadi kegiatan ekonomi utama untuk SKA, yang disokong dengan penanaman koko, pisang, tebu dan serai di halaman rumah sebagai sumber pendapatan sekunder. Para peserta SKA kini memperoleh pendapatan purata sebanyak RM1,700 sebulan dan mereka kini tinggal di rumah serba moden yang dibina oleh ECERDC, lengkap dengan kemudahan awam seperti dewan serbaguna, tadika, surau dan lot kedai.
Sumber: Majlis Pembangunan Wilaya Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) | 8 Nov. 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan