KOTA BHARU: Seramai 53 banduan di Penjara Pengkalan Chepa di sini bertuah apabila diberi peluang berjumpa secara bersemuka dengan anggota keluarga mereka sempena Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri Peringkat Penghuni 2016 hari ini.
Pengarah Penjara Pengkalan Chepa Kamarul Alam Taib berkata kesemua banduan terbabit dipilih berdasarkan kelakuan baik yang ditunjukkan mereka sepanjang ditahan di penjara berkenaan.
"Program ini adalah bagi memberi peluang kepada penghuni untuk merasai suasana hari raya bersama keluarga walaupun berada di dalam penjara.
"Ia juga memberi peluang kepada penghuni untuk bermaafan dengan ibu bapa dan keluarga yang setia menunggu mereka di luar, sekali gus mewujudkan nilai positif antara keluarga dan penghuni untuk meneruskan silaturahim walaupun dipisahkan oleh tembok penjara," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis berkenaan.
Kamarul Alam berkata seramai 2,217 banduan menghuni di Penjara Pengkalan Chepa dengan lebih 50 peratus daripadanya terbabit kesalahan dadah.
Sementara itu, seorang penghuni sepanjang hayat yang dikenali sebagai Nazri, 45, berkata dia berasa bertuah kerana dapat berjumpa anggota keluarganya pada majlis berkenaan.
Dia dipenjarakan atas kesalahan melancarkan serangan ke atas Yang di-Pertuan Agong ketika menyertai kumpulan militan Al Maunah.
"Saya ditahan pada tahun 2000 dan sudah ditahan di Penjara Kajang selama 12 tahun sebelum dipindahkan ke sini.
"Setiap empat tahun sekali saya memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong tetapi masih gagal," katanya.
Dia yang mula ditahan ketika berusia 29 tahun berharap akan mendapat pengampunan kerana dua lagi rakannya sudah dibebaskan dan dapat kembali kepada pangkuan keluarga dan masyarakat.
Sumber: Bernama | 26 Julai 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan