Mohd Aminuddin menunjukkan gambar abangnya, Mohd Ridzuan yang sudah tujuh hari hilang dan tidak dapat dijejaki. |
PASIR MAS: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dipercayai hilang bersama motosikalnya sejak tujuh hari lalu.
Mohd Ridzuan Mohd Nor, 42, yang mengalami kecacatan di bahagian kaki kanan akibat kemalangan 20 tahun lalu, disedari hilang apabila tidak pulang ke rumah sehingga semalam.
Adiknya, Mohd Aminuddin, 33, berkata, kali terakhir ahli keluarganya melihat abangnya itu ialah pada Ahad lalu kira-kira jam 2 petang di Kampung Kubang Gatal.
“Pada hari tersebut, isteri saya ada berselisih dengan abang dan dia menunggang motosikal jenis Honda Wave warna perak nombor pendaftaran DBG 6737. Biasanya paling lewat dia akan balik ke rumah dalam jam 11 malam sebab abang suka keluar bersiar-siar dengan motosikalnya sambil beli makanan. Abang tinggal sendirian di rumahnya yang terletak bersebelahan rumah kami,” katanya.
Menurutnya, apa yang merisaukan mereka sehingga kini, Mohd Ridzuan tidak muncul dan tidak dapat dihubungi melalui telefon bimbitnya.
Tambahnya, mereka juga musykil kerana Mohd Ridzuan langsung tidak menghubungi sesiapa dalam kalangan ahli keluarga.
Mohd Aminuddin berkata, abangnya itu menghafal dan mengingati semua nombor telefon adik beradik mereka.
“Kami dah cari abang di sekitar kawasan di Pasir Mas dan hospital serta masjid... tapi, sampai sekarang masih tak jumpa. Laporan polis pun kami dah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas pada Jumaat lalu kira-kira jam 5 petang.
“Kami harap orang ramai sudi tolong. Jika ada yang terlihat abang saya, diharap dapat hubungi kami. Dia rendah, berkulit putih, suka memakai topi dan kaki kanannya tempang,” katanya.
Menurutnya, orang ramai boleh menghubungi mereka di talian 019-339 6096 atau 019-9943748 jika ada terjumpa atau pernah melihat kelibat abangnya itu.
Katanya, mereka sekeluarga merayu kepada orang ramai sudi bersama-sama membantu mencari abang yang sangat disayangi itu.
“Kami takut jika dia diapa-apakan oleh mereka yang berniat jahat kerana abang sangat lurus orangnya. Sebelum ni pernah ada kes dia dikejar orang tak dikenali sebab disyaki mereka nak ambil motosikal dia,” katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 31 Julai 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan