Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 18 Julai 2016

MCA nasihat Kerajaan Kelantan fokus isu dadah, pengangguran belia

Ng Chok Sin
PETALING JAYA: MCA menasihati kerajaan Kelantan pimpinan PAS untuk memberi tumpuan kepada 'masalah sosial sebenar' seperti penagihan dadah dan pengangguran dan bukannya pengasingan mengikut jantina di dalam pawagam.

Timbalan Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Ng Chok Sin membidas cadangan PAS yang mungkin membuka semula pawagam di negeri itu dengan syarat bakal pengendali mesti mematuhi syarati dan garis panduan ketat.

Beliau berkata syarat tersebut termasuk pengasingan mengikut jantina dan larangan tayangan pada waktu solat malam adalah berdasarkan kenyataan bahawa pawagam menggalakkan gejala sosial.

"PAS mahu mengawal kehidupan masyarakat, manakala meninggalkan isu lain yang sebenar melanda negeri itu.

"Agak mudah untuk mengatakan bahawa pawagam mencetuskan gejala sosial tanpa menyediakan sebarang bukti yang kukuh," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ng menggesa PAS untuk menangani masalah pengangguran belia di Kelantan dan juga penagihan dadah dengan polis baru-baru ini melaporkan bahawa purata 60 penagih dadah ditangkap setiap hari yang mana 90 peratus terdiri daripada golongan belia.

Beliau turut mempertikaikan pengasingan mengikut jantina di pawagam juga akan digunapakai terhadap orang bukan Islam.

"Adakah 'duduk berasingan' digunapakai terhadap orang bukan Islam juga? Jika ya, ia menunjukkan bahawa peraturan kerajaan berasaskan agama menyentuh hak orang bukan Islam untuk bersama," katanya.

Pada Ahad, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata pihak berkuasa Kelantan bersikap terbuka terhadap kemungkinan pawagam di negeri ini akan dibuka semula.

Namun, katanya, bakal pengendali mesti mematuhi syarat-syarat dan garis panduan ketat yang dikenakan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu.

Sumber: mStar Online | 18 Julai 2016

Komentar penulis: Ada asasnya teguran MCA ini kerana negeri Kelantan yang ada sekarang tidak lagi seaman 10 tahun yang lepas. Kes pecah rumah, kecurian binatang ternakan, hasil pertanian, dan sebagainya cukup serius di negeri Kelantan ini. Hampir setiap kampung di Kelantan berhadapan dengan masalah seperti ini. Semua ini berpunca daripada dadah pil kuda dan juga masalah pengangguran dalam kalangan belia. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan