Jajaran Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) dari Kuala Nerus, Terengganu ke Pengkalan Kubor, Kelantan. |
BESUT: Terengganu memohon Kerajaan Persekutuan mempercepatkan pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur 3 (LPT3) bagi memudahkan perjalanan pengguna jalan raya dari Tumpat, Kelantan dan Besut, Terengganu ke LPT2.
Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata pembinaan LPT3 juga dapat mengurangkan kesesakan dari Kampung Gemuruh di Kuala Terengganu hingga ke Besut yang terjadi setiap kali musim perayaan.
Katanya kos pembinaan LPT3 sepanjang 170 kilometer itu dijangka menelan belanja RM2.4 bilion.
"Pada dasarnya pembinaan LPT3 telah diluluskan Perdana Menteri dan ia dalam peringkat mengenal pasti lokasi dan menyiapkan reka bentuk oleh pihak dipertanggungjawabkan termasuk Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM)" katanya kepada media selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Dun Jerteh di sini hari ini.
Turut hadir Adun Jerteh, Datuk Muhamad Pehimi Yusof dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohamad Omar.
Menurut Ahmad Razif, LLM perlu mengambil langkah supaya satu jalan alternatif dibina dari Kuala Terengganu ke Besut melalui LPT3 itu supaya pengguna jalan raya tidak lagi menghadapi kesesakan.
Beliau berkata kesesakan jalan raya yang sering berlaku di laluan Besut ke Kuala Terengganu telah dimaklum kepada Perdana Menteri sejak perayaan Aidilfitri tahun lalu.
Ini berikutan pengguna jalan raya dari hujung LPT2 dekat Kampung Gemuruh, Kuala Terengganu terpaksa mengambil masa antara empat hingga lima jam untuk ke Besut yang jaraknya hanya kira-kira 95 kilometer sahaja.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri juga sedang memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan supaya jalan pantai dari Kuala Terengganu ke Besut melalui Penarik, Setiu dinaik taraf menjadi empat lorong.
Katanya, buat masa ini pembinaan jalan pantai empat lorong dari Kemaman hingga Kuala Terengganu hampir siap kecuali di beberapa kawasan di Kijal dan Dungun yang masih belum dinaik taraf sepenuhnya.
"Sekiranya siap, pembinaan akan ditumpukan untuk jalan empat lorong dari Seberang Takir, Kuala Terengganu ke Besut pula," katanya.
Sumber: Bernama | 11 Julai 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan