GUA MUSANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan mengenal pasti terdapat segelintir pemborong ayam yang beroperasi tanpa permit sah di negeri itu.
Pengarahnya Datuk Ab Ghani Harun berkata pihaknya sedang memantau perkara berkenaan dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pemborong berkenaan setelah mendapat bukti mencukupi.
"Siasatan awal kita mendapati pemborong ayam haram ini beroperasi tanpa membuat sebarang permohonan memborong ayam daripada agensi ini, selain turut bebas memasarkan ayam ke dalam pasaran di negeri ini.
"Kita akan bertindak sebaik bukti mencukupi kerana kita tak mahu pemborong ayam haram ini menggugat pasaran dengan menjual ayam tanpa sebarang kawalan," katanya kepada pemberita selepas meninjau sebuah ladang ternak ayam daging di Kampung Lepan Jaya di sini, hari ini.
Ab Ghani berkata banyak masalah timbul ekoran kewujudan pemborong ayam tanpa permit di negeri ini terutama dari segi harga dan pemasaran yang tidak selaras.
Kelantan mempunyai sebanyak 207 ladang ternakan ayam, selain 80 premis pemprosesan ayam dan 756 peruncit yang beroperasi di negeri ini.
Ditanya mengenai bekalan ayam menjelang Aidiladha September depan, Ab Ghani berkata ia akan mencukupi dan akan berdepan sedikit kenaikan harga berikutan kos penternakan yang semakin tinggi.
Selain itu, beliau berkata penternak juga berdepan masalah membesarkan ayam-ayam mereka kerana tempoh yang pendek antara Aidiladha dan Aidilfitri awal bulan ini.
"Tetapi kita yakin penternak mempunyai cara bagi mengatasi masalah tersebut kerana telah lama berdepan situasi begini," katanya.
Sumber: Bernama | 26 Julai 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan