Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed pada sidang media di Kota Bharu, Kelantan. |
KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan sedang meneliti untuk menjadikan jalan yang menghubungkan Pasir Mas, Rantau Panjang sehingga ke sempadan Sungai Golok sebagai laluan antarabangsa.
Sehubungan itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata kajian sedang dijalankan untuk melebarkan jalan berkenaan bagi tujuan itu.
Beliau berkata, pembesaran jalan, pembinaan jalan jejantas dan jalan pintasan menjadi tumpuan untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di negeri ini terutama musim perayaan.
"Pembesaran jalan yang menghubungkan Pasir Mas, Rantau Panjang sehingga ke sempadan Sungai Golok, Thailand antara yang dicadangkan untuk dilaksanakan.
"Jalan ini akan menjadi jalan antarabangsa apabila diperbesarkan nanti," katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.
Mustapa yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan, berkata beberapa projek infrastruktur menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) di negeri yang membabitkan pembinaan jalan, jejantas dan jambatan sedang giat dijalankan.
Katanya, seperti pembinaan jalan pintasan di Pasir Mas yang membabitkan kos RM114 juta kini sudah 50 peratus siap.
Selain itu, katanya pembesaran Jambatan Pasir Mas - Salor juga sedang berjalan lancar yang akan mengurangkan kesesakan di bulatan Pasir Mas - Salor yang dijangka siap sepenuhnya tahun depan.
"Kerajaan Pusat juga akan membina jalan jejantas bagi melintasi jalan kereta api di bandar Tanah Merah dan di Pasir Pekan Tumpat menerusi RMK-11 bagi mengatasi kesesakan," katanya.
Sumber: Bernama | 4 Julai 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan