Peniaga akan berpindah ke Bandar Tasek Raja secara berperingkat bermula 1 Ogos ini. |
PASIR MAS: Seramai 700 peniaga di Pasir Mas akan berpindah ke Bandar Tasek Raja di Jalan Pasir Mas - Rantau Panjang selepas pembukaan kawasan tersebut pada 1 Ogos ini.
Ketua Jajahan Pasir Mas, Dr Che Hamat Che Muda berkata, mereka akan berpindah secara berperingkat dalam tempoh tiga bulan dari tarikh berkenaan.
Menurutnya, terdapat sebanyak 1,700 premis dibuka di kawasan tersebut, yang akan memberi kemudahan kepada sebahagian besar peniaga di daerah itu kelak.
“Peniaga terlibat adalah dari Pasar Pasir Mas, Pasar Mundok Pasir Mas dan Pasar Tepi Sungai. Ini termasuk peniaga di Stesen Bas Pasir Mas dan sekitar landasan kereta api, termasuk dalam rizab tanah Kereta Api Tanah Melayu Berhad yang dipanggil Perbadanan Aset,” katanya.
Menurut Che Hamat lagi, selepas pengosongan pasar lama selesai, tapak asal akan diubahsuai mengikut projek pembangunan lain yang masih belum diputuskan.
Katanya, proses mengundi tapak premis akan dijalankan minggu depan, manakala kadar sewa akan dimaklumkan tidak lama lagi.
"Ada banyak kemudahan disediakan di Bandar Tasek Raja antaranya surau, 271 tempat letak kereta bawah tanah dan 464 tempat letak kereta di ruang terbuka.
“Selain itu, kita dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas apabila stesen bas yang lebih selesa turut disediakan bagi menggantikan kawasan mengambil dan menurunkan penumpang di Stadium Pasir Mas ketika ini," katanya selepas merasmikan Program Gotong-royong Perdana dan Penyampaian Sijil Taman Anak Angkat di Taman Maka Utama, Kampung Jakar.
Serentak dengan program itu, MDPM turut ambil Taman Maka Utama sebagai Taman Anak Angkat tahun ini.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 16 Julai 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan