JELI: Penduduk di Mukim Batu Melintang di sini, mahu pihak berkaitan mengambil tindakan segera dengan membina pagar elektrik bagi menyelesaikan masalah gajah yang menceroboh beberapa perkampungan di kawasan berkenaan.
Wakil penduduk Aidi Abdul Rahman, 50, berkata ia bagi mengelak anak pokok getah serta tanaman kontan seperti pisang dimusnahkan oleh haiwan liar berkenaan terutama di Kampung Salor, Dendong dan Batu 6 di sini.
"Setakat ini memang telah ada pagar elektrik sepanjang 10.5 kilometer dan setinggi 2.5 meter yang dibina dari Kampung Lata Janggut ke Kampung Batu Melintang, namun ia masih gagal mengawal kehadiran gajah di kawasan ini.
"Pihak berkaitan diharap dapat membina tiga kilometer lagi pagar elektrik yang turut menggunakan tenaga solar bagi mengelak masalah sama berulang," katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Dendong di sini, hari ini.
Aidi berkata kos bagi membina tiga kilometer pagar elektrik itu dianggarkan sekitar RM20,000 dan ia dijangka dapat menyelesaikan masalah yang membelenggu penduduk sejak sekian lama.
"Sekiranya pagar itu dapat disambungkan dengan segera, ia sedikit sebanyak dapat menghalang dua atau tiga ekor gajah yang sering memasuki kampung menerusi laluan tidak berpagar itu.
"Kami risau kerana jika tiada tindakan segera, gajah-gajah ini dikhuatiri akan mengancam nyawa serta harta-benda penduduk pula," katanya.
Penduduk Kampung Salor Fauzi Sulaiman, 51, berkata gajah liar sering dilihat berkeliaran di kawasan kampungnya sehingga menakutkan penduduk yang bekerja sebagai penoreh getah.
"Kami terpaksa berhati-hati apabila mahu melakukan aktiviti harian itu kerana dikhuatiri terserempak dengan kumpulan gajah berkenaan yang mungkin akan mengancam nyawa kami.
"Kadangkala penduduk di sini terpaksa berputih mata apabila melihat sebahagian anak getah yang baharu ditanam dimusnahkan oleh kumpulan gajah tersebut," katanya.
Beliau berkata jika pihak berkaitan dapat membina dan menyambung pagar elektrik di kawasan itu, ia sedikit sebanyak dapat memberik kelegaan kepada penduduk.
Sumber: Bernama | 26 Julai 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan