KOTA BHARU: Pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang berkonsepkan 'Ulul Albab' bernilai RM120 juta di Kelantan dijangka akan dimulakan, awal tahun depan.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Tan Sri Annuar Musa berkata kawasan seluas hampir lima hektar berhampiran pekan Peringat di sini, sudah dikenal pasti bagi tujuan itu.
"Kita akan keluarkan proses tender pada penghujung tahun ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Jaya Peringkat di sini, hari ini.
Annuar yang juga anggota Parlimen Ketereh berkata MRSM berkenaan yang merupakan yang pertama di negeri ini, mampu menampung seramai 750 pelajar dan dijangka akan mula beroperasi pada 2019.
Selain itu, Annuar berkata MRSM tersebut adalah yang terbesar setakat ini berbanding empat lagi MRSM dengan konsep yang sama, masing-masing di Terengganu, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor ketika ini.
"Pada masa ini keempat-empat maktab itu melahirkan kira-kira 1,000 pelajar setahun yang dapat menghafal 30 juzuk al-Quran, selain berkeupayaan dalam bidang sains, perakunan dan kejuruteraan," katanya.
Annuar berkata, MRSM Ulul Albab memberi penekanan kepada aspek pembangunan sahsiah pelajar menerusi agama dan dalam masa yang sama turut memberi fokus dalam bidang akademik.
"Penubuhannya juga untuk memenuhi permintaan yang semakin bertambah dari umat Islam di negara ini," katanya.
Katanya Peringat dipilih sebagai lokasi pembinaan MRSM itu berdasar potensi kerana berada berhampiran bandar raya Kota Bharu serta dekat dengan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa.
Beliau berkata ia juga akan merancakkan proses pembangunan pekan Peringat dan memberi peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk setempat.
Sumber: Bernama | 23 Julai 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan