Keadaan air yang berkarat dalam tong simpanan air. |
KOTA BHARU: Hampir 20 pengguna termasuk kakitangan MYEG, klinik dan kedai di Jalan Panji di sini terpaksa menggunakan air botol, selain air paip di masjid berhampiran selepas mengalami masalah bekalan air sejak tiga bulan lalu.
Masalah itu berlarutan selepas Aidilfitri lalu sehingga menyebabkan air dalam tong turut berkarat.
Seorang pekerja, Dinnie Zainuddin, 27, berkata, masalah terbabit menyukarkan urusan pekerja untuk mengambil wuduk, menggunakan tandas dan pelbagai urusan lain.
“Kami terpaksa ke masjid berdekatan dan membeli bekalan air dalam botol bagi mendapatkan bekalan air.
“Perkara ini telah diajukan kepada pihak berwajib, namun selepas mereka melakukan pemeriksaan meter, bekalan air masih kurang dan menurut mereka tekanan air rendah di kawasan ini,” katanya.
Seorang lagi pekerja, Nurhaniza Nuzam, 32, berkata, masalah itu perlu ditangani segera memandangkan ia menyukarkan mereka sejak berbulan lamanya.
“Kami harap masalah air di kawasan ini akan kembali pulih seperti sedia kala dan tekanan air juga bertambah baik,” katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 31 Julai 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan