Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 31 Julai 2016

Bomba Kelantan tingkatkan pemeriksaan pondok pengajian agama

KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan akan memeriksa setiap pondok pengajian agama di negeri ini bagi memastikan pemiliknya mematuhi ciri-ciri pencegahan kebakaran.

Pengarahnya, Azmi Osman berkata pihaknya memandang serius kebakaran yang melibatkan pusat pengajian agama ala tradisional itu kerana ia menyebabkan kemusnahan serta kerugian dalam skala besar.

"Kita akan melakukan lawatan dan memantau sebanyak empat kali dalam setahun ke atas setiap pondok bagi mengetahui keadaan keselamatan terutamanya sistem pendawaian elektrik bagi mengelakan berlakunya kebakaran," katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri di Balai Bomba dan Penyelamat Tunjong di sini, hari ini.

Azmi berkata dalam beberapa kes kebakaran yang melibatkan pusat pengajian agama tersebut sebelum ini, pihaknya mendapati ia berpunca daripada kelemahan dalam aspek pendawaian elektrik.

"Selalunya kebakaran akan mengakibatkan kerugian besar kerana 60 peratus struktur sesebuah pondok adalah daripada bahan yang mudah terbakar iaitu kayu dan jarak antara sesebuah pondok terlalu rapat," katanya.

Katanya setakat ini terdapat 46 pondok pengajian agama yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan beliau percaya masih banyak lagi yang belum berdaftar.

Beliau berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan MAIK dan pemilik pondok bagi memperbaiki kelemahan khususnya daripada aspek keselamatan kebakaran dalam tempoh terdekat.

Sumber: Bernama | 31 Julai 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan