Anggota AADK menunjukkan sebuah kereta milik suspek yang dipenuhi kelapa. |
BACHOK: Kegiatan mencuri kelapa di kebun sekitar Bachok kini yang semakin membimbangkan membuatkan orang ramai membuat banyak laporan kepada pihak berkenaan untuk tindakan drastik.
Hasil siasatan selama seminggu, pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berjaya memberkas 15 lelaki yang disyaki penagih dadah dalam operasi yang dilakukan kelmarin.
Ketua Pegawai AADK Bachok, Abdullah Ali berkata, operasi di Kampung Nipah itu berjaya menemui lokasi jualan kelapa yang dipercayai dicuri di sekitar daerah ini.
“Daripada 15 lelaki yang ditahan, 10 orang adalah positif ujian urin saringan dadah jenis pil kuda (methamphetamine). Semua suspek yang ditahan berumur di antara 20 hingga 47 tahun.
“Kami percaya Kampung Nipah ini lokasi tumpuan mereka menjual kelapa curi dengan anggaran harga RM0.90 atau RM1 sebiji. Ada di antara mereka yang membawa kelapa dengan motosikal dan kereta,” katanya.
Semua suspek ditahan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagihan Dadah (rawatan dan pemulihan) 1983.
Abdullah berkata, operasi yang bermula dari jam 11 pagi hingga 4 petang itu disertai anggotai seramai 10 orang anggota AADK diketuai oleh Unit Penguatkuasaan AADK Bachok.
Beliau berkata, Operasi Perangi Pil Kuda (PPK) akan diteruskan di seluruh daerah ini dan berharap masyarakat akan terus memberi sokongan dan kerjasama bagi mengurangkan masalah penagihan dadah.
24 Jun lalu juga dilaporkan terdapat seorang lelaki yang terjatuh dari pokok kelapa setinggi 14 meter dalam cubaan mencuri kelapa ketika umat Islam bersiap sedia untuk berbuka puasa di Kampung Tanjung Jenera, Beris Kubur Besar.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 29 Julai 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan