Ustaz Datuk Ahmad Yakob |
KOTA BHARU: Mengambil kira pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di Kampung Laut beroperasi di tanah rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), kerajaan negeri merancang menempatkan mereka di tempat lebih sesuai.
Kawasan itu akan dibangunkan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sebagai Kampung Warisan.
Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata pengusaha serunding, dodol, gelembung buaya di situ perlu ditempatkan ke lokasi yang lebih baik.
Katanya, Kampung Warisan itu merupakan program di bawah ECER bagi membangunkan Kampung Laut melalui program warisan.
“Tujuannya mempertingkatkan kampung berkenaan dengan menyusun semula kilang-kilang yang memproses produk tradisonal di satu tempat.
“Lagi pun lokasi asal akan dibangunkan JPS projek tebatan banjir,” katanya di sini.
Sebuah portal berita sebelum ini mendakwa pengambilan balik penempatan penduduk Kampung Laut untuk projek Kampung Warisan dibuat tanpa sebarang makluman dan perundingan.
Wakil penduduk Mohd Nordin Adam dilapor mendakwa hak penduduk cuba diceroboh dan tiada yang boleh diharapkan membela nasib mereka.
Ustaz Ahmad yang juga Adun Pasir Pekan berkata dakwaan itu tidak berasas kerana kerajaan negeri sejak awal lagi mengambil kira masalah penduduk terlibat.
“Ada juga yang menganggap saya tidak pernah turun, sedangkan saya masih lagi mengajar di Masjid Kampung Laut malah sering menziarahi masyarakat di situ,” ujarnya.
Menurutnya juga penyusunan Kampung Warisan akan turut membabitkan pengambilan tanah yang dianggar melibatkan 13 rumah.
Kata beliau kerajaan negeri akan menyediakan tapak baharu kepada mereka termasuk mendirikan penginapan berhampiran Kampung Laut.
“Kerajaan negeri juga akan membayar pampasan mengikut nilaian harga semasa,” katanya.
Sumber: Harakah Daily | 24 Julai 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan