Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 25 Julai 2016

Polis Kelantan perkasa tiga elemen perangi Daesh

TUMPAT: Polis Kelantan akan memperkasa tiga elemen utama iaitu masyarakat, pencegahan jenayah dan risikan bagi membanteras anasir tidak sihat termasuk aktiviti kumpulan militan Daesh di negeri ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata walaupun tiada sebarang aktiviti berkaitan kumpulan militan itu dikesan di negeri ini setakat ini, namun pihaknya akan meningkatkan aktiviti risikan bagi menangani sebarang ancaman radikal.

"Saya menggesa kesemua balai, dan pusat penginapan untuk meningkatkan tahap keselamatan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya kepada pemberita di Jeti Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor di sini hari ini selepas melakukan tinjauan di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata seramai 14 individu ditahan oleh Bahagian Counter Terorrism Cawangan Khas Bukit Aman di sekitar Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Sabah, selepas disyaki terlibat dengan kumpuan militan Daesh.

Dalam pada itu, Ab Rahman berkata antara kawasan yang akan diberikan perhatian rapi adalah empat daerah bersempadan dengan negara jiran iaitu Pasir Mas, Tumpat, Jeli dan Tanah Merah.

Beliau berkata selain itu, kawasan Pelabuhan Tok Bali di Pasir Puteh juga akan menjadi keutamaan agensi itu dalam usaha mengekang jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan manusia dan senjata api.

Katanya, semua agensi keselamatan di sempadan termasuk Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia serta Jabatan Imigresen akan bekerjasama bagi memerangi aktiviti jenayah di kawasan sempadan.

Sumber: Bernama | 24 Julai 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan