KUANTAN: Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah hari ini berkenan merasmikan pusat perubatan pertama milik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), yang terletak di kampus perubatannya di Indera Mahkota di sini.
Pusat perubatan 11 tingkat yang dikenali sebagai IIUMMC Medical Centre itu dibina pada Julai 2012 dan siap pada Mei lepas, dengan kos sebanyak RM590 juta termasuk kos peralatan sebanyak RM177 juta.
Ia merupakan pusat perubatan patuh syariah (mesra ibadah) dengan dilengkapi 350 katil, 15 klinik pakar, 20 bilik pembedahan, unit rawatan rapi (ICU), unit rawatan jantung (CCU) dan bilik bersalin.
Selain itu ia turut dilengkapi mesin dan teknologi perubatan yang canggih seperti MRI Tesla, mesin CT Scan dan alatan x-ray berdigital serta mesin pengimbas jantung yang canggih.
Selepas majlis perasmian itu, Sultan Pahang yang juga Ketua Perlembagaan UIAM dengan diiringi Sultanah Pahang Sultanah Kalsom turut melawat Jabatan Radiologi untuk melihat sendiri teknologi serta alatan canggih berkenaan.
Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Presiden UIAM yang juga Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia Tan Sri Dr Rais Yatim, dan Rektor UIAM Prof Datuk Seri Zaleha Kamaruddin.
Sementara itu, Rais dalam sidang media selepas majlis berkenaan berkata, kewujudan IIUMMC yang mesra ibadah itu bukan bertujuan untuk bersaing dengan hospital awam, namun ia lebih kepada pelengkap perkhidmatan perubatan menerusi kepakaran yang berkaitan terutama bidang pergigian.
"IIUMMC ini menerapkan semua kaedah perawatan yang disarankan dalam Islam bagi mereka yang sakit termasuklah aspek pengajaran latihan solat kepada pesakit. Lebih menarik susunan katil mengadap kiblat sekaligus memudahkan pesakit menunaikan ibadat.
"Kita juga mempunyai 133 pakar yang berkebolehan tinggi dalam bidang masing-masing yang diambil daripada Kulliyah Perubatan, Kulliyah Sains Kesihatan Bersekutu, Kulliyah Farmasi dan Kulliyah Pergigian.
"Dari segi manfaatnya, penduduk Kuantan khasnya dan Pantai Timur amnya akan mendapat perkhidmatan hospital yang moden dan terkini dengan caj rawatan berpatutan dan dalam masa yang sama mahasiswa UIAM akan mendapat kemudahan pembelajaran dan persekitaran yang baik serta kondusif," katanya.
Menurutnya, klinik rawatan untuk pesakit luar IIUMMC akan mula dibuka kepada orang awam pada Isnin minggu depan, manakala rawatan dalam wad akan mula menerima pesakit pada 1 Ogos ini.
Sumber: Bernama | 20 Julai 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan