Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 28 Julai 2016

Kelantan dicadang bina empangan selesaikan masalah bekalan air

MACHANG: Kerajaan Kelantan dicadangkan membina empangan di kawasan hulu negeri ini, bagi menyelesaikan masalah bekalan air yang dihadapi penduduk.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata bekalan air yang sering terputus dan berwarna kekuningan di sesetengah kawasan menyukarkan urusan harian penduduk.

"Keadaan tersebut bertambah kritikal pada sambutan Hari Raya Aidilfitri awal bulan ini apabila ramai rakyat Kelantan yang bekerja di luar pulang untuk menyambut hari raya bersama keluarga di kampung," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di sini, hari ini.

Kira-kira 15,000 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat terutamanya yang tinggal di jajahan Machang menghadiri majlis itu.

Ahmad Jazlan yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata Kerajaan Persekutuan akan terus membantu kerajaan negeri dalam usaha menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.

Anggota Parlimen Machang itu juga berkata sudah sampai masanya kerajaan negeri 'duduk semeja' dengan Kerajaan Persekutuan yang sentiasa membuka pintu rundingan bagi membantu menyelesaikan sebarang masalah, demi faedah rakyat.

Selain sumber air sungai, bekalan air di negeri ini turut diperoleh daripada telaga tiub.

Sumber: Bernama | 28 Julai 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan