Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 22 Jun 2017

Sejuta kenderaan masuk Kelantan Aidilfitri ini

Gambar hiasan: Kesesakan di Lebuh Raya Kuala Lumpur - Karak. 
GUA MUSANG: Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Kelantan menganggarkan lebih sejuta kenderaan akan memasuki negeri ini berikutan kepulangan perantau sepanjang sambutan Aidilfitri kali ini.

Pengerusinya Datuk Abdul Fattah Mahmodd berkata laluan Kuala Lumpur - Gua Musang - Kuala krai mulai sesak dengan kenderaan pagi Khamis.

Malah katanya, jalan raya mungkin bertambah sesak pada malam kemuncak menyambut hari raya nanti.

"Justeru pengguna jalan raya diharap dapat menggunakan beberapa jalan alternatif bagi mengelak mereka terperangkap dalam kesesakan lalu lintas," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rantau Manis di sini, Khamis.

Sumber: Bernama | 22 Jun 2017

Hubungan Pusat, Kelantan bertambah erat

Mustapa Mohamed bersama wartawan dalam majlis Dialog dan Makan Colek Bersama Media Kelantan di Kota Bharu, Kelantan, semalam.
KOTA BHARU: Hubungan dan kerjasama yang semakin erat antara Kerajaan Pusat dengan Kerajaan Pas Kelantan sejak akhir-akhir ini banyak memberi manfaat kepada rakyat negeri ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, hubungan erat tanpa mengira fahaman politik itu memudahkan kerajaan Pusat menyalurkan bantuan serta melak­sanakan pelbagai pemba­ngunan.

“Kita hanya mempunyai satu matlamat iaitu membaiki dan membawa perubahan di negeri ini. Sekarang kita berada di landasan betul seterusnya rakyat mendapat limpahan nikmat.

“Sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang kita akan terus berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan pelbagai masalah,” katanya ketika berucap dalam majlis Dialog dan Makan Colek Bersama Media Kelantan di sebuah hotel di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Hanafi Mamat; Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Datuk Abdul Aziz Derashid; Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Yahya Mamat dan 75 pengamal media di negeri ini.

Dalam majlis tersebut, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri turut menjawab pelbagai isu yang dibangkitkan dan beramah mesra dengan wakil-wakil media.

Mengulas lanjut, Mustapa ber­kata, agensi-agensi kerajaan digesa menjalinkan kerjasama erat dengan pihak media bagi memudahkan segala maklumat disalurkan kepada rakyat.

“Masyarakat perlu mendapat maklumat yang tepat bagi mengelakkan mereka terpengaruh dengan media baharu yang maklumatnya belum tentu sahih.

“Orang ramai kalau tidak mendapat maklumat tepat, mereka akan mudah percaya dengan pelbagai fitnah. Jadi saya harap kedua-dua pihak dapat memainkan peranan dengan berkesan,” katanya.
 
Sumber: Utusan Malaysia | Politik | 21 Jun 2017

Unit Kardiotorasik HRPZ II tidak akan ditutup

Ahmad Razin
KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan negeri tidak pernah mempunyai perancangan untuk menutup Unit Kardiotorasik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Pengarahnya, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, unit yang beroperasi sejak tahun 2010 itu telah memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan rawatan jantung kepada rakyat negeri ini.

Dalam masa sama ujarnya, usaha dan perancangan juga telah diatur bagi meningkatkan lagi perkhidmatan jantung di hospital negeri ini.

“Sehingga kini, 467 pesakit telah menjalani pembedahan di unit ini. Jelas sekali, perkhidmatan Kardiotorasik di HRPZ II telah memberi manfaat kepada bukan rakyat Kelantan sahaja, tetapi juga Terengganu. Tidak ada keperluan kita menutupnya.

“Oleh itu, sekali lagi dimaklumkan bahawa sememangnya tiada perancangan untuk menutup Unit Kardiotorasik HRPZ II,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Isnin lalu, Utusan Online melaporkan Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) menzahirkan rasa bimbang sekiranya Unit Kardiotorasik HRPZ II di sini di tutup kerana ia akan memberi kesulitan kepada rakyat di negeri ini untuk mendapatkan rawatan jantung.

Presidennya, Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad dilaporkan berkata, berdasarkan kepada maklumat yang diterima, terdapat tiga pakar bedah jantung telah menamatkan perkhidmatan pada tahun lalu dan sehingga kini hanya ada sepuluh orang pakar sahaja di seluruh negara. 

Sumber: Utusan Online | 21 Jun 2017

Harga ayam dijamin terkawal

AB Ghani Harun (duduk tengah) bersama sebahagian pemborong ayam dalam sidang akhbar di Kota Bharu.
KOTA BHARU: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri memberi jaminan harga ayam di pasaran tidak akan melambung tinggi pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri sebagaimana tahun lalu.

Pengarahnya, Datuk Ab Ghani Harun berkata, pihaknya telah mencapai persetujuan dengan pemborong ayam negeri ini untuk mematuhi harga kawalan ditetapkan selama 14 hari dari 17 Jun hingga 30 Jun ini.


Beliau berkata, harga maksimum ayam hidup ditetapkan pada RM5.70 sekilogram (borong) dan RM6.20 sekilogram (runcit) manakala ayam yang sudah disembelih dan dibersihkan pula ditetapkan RM6.70 sekilogram (borong) dan RM7.50 (runcit).


“Kita akan pastikan kejadian tahun lalu tidak berulang sehingga ayam dijual sehingga RM100 bagi tiga ekor.


“Kita sudah mendapat jaminan daripada pemborong bahawa bekalan ayam mencukupi dan mereka berjanji tidak akan bersekongkol dengan peruncit yang mahu mengambil kesempatan menjual dengan harga terlalu mahal.


“Kita akan letakkan pegawai pemantau di semua pasar utama dan tidak akan benarkan peruncit menjual secara longgok serta mewajibkan mereka menggunakan penimbang,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pertemuan dengan 50 pembekal ayam dari seluruh negeri di pejabatnya di sini hari ini. 
 
Sumber: Utusan Online | 21 Jun 2017

Rabu, 21 Jun 2017

KB bandar raya paling sesak pada musim hari raya

Gambar fail: Kesesakan aliran trafik di Plaza Tol Gombak menuju ke Pantai Timur. 
KOTA BHARU (KB), Kelantan bakal menjadi bandar raya paling sesak menjelang hari raya kali ini dengan jangkaan jumlah peningkatan aliran trafik hingga lima kali ganda bermula hari ini.

Menurut laporan dikeluarkan aplikasi navigasi popular Waze, jumlah pemandu yang menuju ke Kota Bharu dijangka meningkat sekitar 370 peratus bermula hari ini.

Bagi keesokan harinya pula jumlah pemandu menuju ke Kota Bharu dianggarkan meningkat sekitar 160 peratus.

Malah kadar laporan kemalangan di bandar raya terbabit dijangka meningkat sehingga 500 peratus menjelang Jumaat ini.

Selain Kota Bharu, Kuala Terengganu turut menerima kesan sama dengan jumlah aliran trafik meningkat sebanyak empat kali ganda diikuti Lembah Kinta, Perak; Batu Pahat, Johor dan Bandar Raya Melaka.

Sementara itu di Kuala Lumpur, kesesakan lalu lintas dijangka berkurang esok dengan pengurangan kadar aliran sebanyak 90 peratus.

Laporan Waze ini dibuat berdasarkan data yang dikumpul semasa musim perayaan tahun lalu dan infografik terbabit dikeluarkan sebagai panduan orang ramai merancang perjalanan dengan lebih baik.

Pada masa sama orang ramai boleh menggunakan fungsi 'Planned Drives' pada aplikasi Waze bagi melihat waktu paling sesuai untuk memulakan perjalanan ke kampung halaman.

Sumber: Harian Metro | 21 Jun 2017

KAFA lunas tunggakan gaji pemain semalam - Annuar

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) telah melunaskan tunggakan gaji berjumlah RM1.5 juta kepada pemain pasukan Kelantan hari ini, kata Penasihat KAFA Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata pembayaran tunggakan gaji melibatkan semua pemain senior, belia dan Piala Presiden.

"Pembayaran tunggakan gaji tersebut adalah tunggakan gaji bagi Mei, Jun dan pendahuluan bagi bulan Julai," katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa kawasan Parlimen Ketereh di kediamannya di Bukit Marak di sini.

Annuar berkata pembayaran tunggakan gaji itu diharap dapat meringankan bebanan kewangan yang dihadapi pemain terutama bagi membuat persiapan Aidilfitri.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan terus mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) berhubung hasrat persatuan itu mendaftarkan pemain import Seydi L. Imam dari Perancis bagi saingan liga musim ini.

"Kami akan berunding dan terus mengemukakan rayuan kerana kita sudah menandatangani perjanjian bersama pemain tersebut bulan lalu. Penolakan permohonan pendaftaran pemain itu sudah tentu memberikan kesan kepada kami," katanya.

Semalam FMLLP menolak permohonan KAFA menggunakan khidmat pemain import terbabit bagi beraksi dalam Liga Malaysia musim ini.

Keputusan itu dibuat selepas mendapati KAFA masih gagal memenuhi kriteria yang diperlukan dalam proses pendaftaran Liga Malaysia 2017.

Sumber: Bernama | 20 Jun 2017

Penerbangan ihsan bomba hantar pesakit Orang Asli ke Hospital Gua Musang

GUA MUSANG: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membantu menyelamatkan seorang lelaki Orang Asli yang menghidap demam panas kritikal untuk dihantar menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM) hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam unit berkenaan Penolong Penguasa Bomba Mohd Farhan Marzuki berkata pesakit itu Mahadi Musa, 19, diserang demam panas hingga mengigil di rumahnya di Kampung Sedal, Pos Simpor, pedalaman jajahan ini sejak tiga hari lepas.

"Helikopter jenis AW139 berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada pukul 12.59 tengah hari ini dan mendarat di Kampung Sedal pukul 2.13 petang untuk mengambil pesakit terlantar itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Farhan berkata helikopter yang membawa pesakit itu selamat mendarat di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pukul 2.35 petang sebelum pesakit berkenaan dibawa dengan ambulans ke HGM.

Katanya, pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) mengenai lelaki berkenaan yang sakit kritikal dan perlu dihantar segera ke hospital bagi menerima rawatan, semalam.

"Penerbangan ihsan itu adalah yang ke-12 sejak Januari hingga hari ini bagi menyelamatkan pesakit Orang Asli di pedalaman Gua Musang kerana mereka menghadapi masalah perhubungan jalan darat," katanya.

Penerbangan berkenaan diketuai Juruterbang Kapten Leong Cheong Meng dan dibantu pembantu juruterbang Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Fadhlan Mohd Pauzie.

Sumber
: Bernama | 20 Jun 2017

Selasa, 20 Jun 2017

TM Kelantan sasar 17,424 premis dapat HSBB

KOTA BHARU: Telekom Malaysia Berhad (TM) Kelantan menyasarkan 17,424 premis akan mendapat perkhidmatan telekomunikasi melalui rangkaian Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) sehingga akhir tahun ini.

Pengurus Besar TM Kelantan, Azman Yusof berkata sehingga kini, 8,536 premis telah dilengkapi perkhidmatan tersebut dan kerja-kerja pemasangan sedang dilakukan bagi melengkapkan lagi 8,888 premis.

"Jumlah kos projek HSBB di Kelantan adalah RM20 juta setakat ini dan perkhidmatannya melibatkan ibu sawat Kota Bharu, Kubang Kerian dan Pengkalan Chepa serta akan diperluaskan di kawasan Jeli," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa TM Kelantan Bersama Pengamal Media Kelantan di sini, malam ini.

Azman berkata TM juga membangunkan rangkaian Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB) dan kawasan sasaran adalah di lokasi yang masih belum ada perkhidmatan HSBB.

"Projek SUBB tertumpu di kawasan tengah Kelantan yang melibatkan 11 ibu sawat dengan membabitkan kos RM17 juta dan kami akan membangunkan perkhidmatan tersebut di empat lagi kawasan ibu sawat dengan anggaran kos RM10 juta," katanya.

Beliau berkata secara umumnya, TM telah menawarkan perkhidmatan jalur lebar hampir ke seluruh negeri ini dengan harapan akan mengurangkan jurang digital antara bandar dan luar bandar.

"Kami akan terus bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia ke arah mencapai sasaran tersebut (jurang digital)," katanya.

Azman berkata sehingga kini, pihaknya mempunyai 44,000 pelanggan perkhidmatan rangkaian jalur lebar di negeri ini, melibatkan lebih 1,800 daripadanya adalah pelanggan UniFi.

Sumber: Bernama | 19 Jun 2017

Ujian mengejut air kencing terhadap pemandu bas di Kelantan

KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan akan melakukan ujian air kencing secara mengejut terhadap pemandu bas ekspres yang keluar masuk ke negeri ini sepanjang Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri 2017 bermula semalam hingga 2 Julai depan.

Pengarahnya, Mahasan Mustapa berkata pemeriksaan tersebut bagi memastikan tiada pemandu bas di bawah pengaruh dadah dan alkohol semasa memandu.

"Kami sentiasa memantau dan memberi perhatian terhadap mereka (pemandu bas) kerana mereka membawa ramai penumpang dan akan memberikan kesan teruk kepada pengguna jalan raya lain sekiranya sesuatu kemalangan berlaku," katanya kepada pemberita selepas melancarkan operasi tersebut di sini, hari ini.

Mahasan berkata pemeriksaan mengejut itu tidak hanya dilakukan di terminal bas utama yang terdapat di negeri itu, tetapi juga di Stesen Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan yang terdapat di setiap daerah selain penyamaran anggota penguatkuasa yang menaiki bas.

Beliau berkata pihaknya juga turut memberikan perhatian kepada jadual perjalanan bas bagi memastikan setiap pemandu tidak melakukan perjalanan secara berlebihan dalam sesuatu tempoh.

Sumber: Bernama | 19 Jun 2017

Kelantan dapat pengurangan denda tiga mata

KUALA LUMPUR: Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) menerima rayuan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk meringankan denda pemotongan mata dikurangkan kepada tiga berbanding enam mata sebelum ini.

FMLLP, bagaimanapun mengekalkan sekatan perpindahan pemain untuk jendela kedua ekoran KAFA gagal memenuhi kriteria yang diperlukan.

FMLLP dalam satu kenyataan hari ini, menjelaskan keputusan mengurangkan denda itu dibuat berdasarkan kesungguhan KAFA melengkapkan pendaftaran pasukan dengan mengemukakan pelan pembayaran untuk jumlah yang tertunggak.

Namun, FMLLP berkata pihaknya tidak dapat memberi kelulusan budi bicara ke atas permintaan KAFA kerana menyifatkan perpindahan pemain tidak memberi impak positif kepada kedudukan kewangan persatuan bola sepak negeri berkenaan.

"Rayuan kedua ini dapat dipertimbangkan kerana KAFA telah mengambil langkah proaktif untuk berjumpa dengan pihak FMLLP pada 5 Jun 2017 tentang isu pendaftaran pasukan dan juga rayuan kedua ini telah diiringi dokumen-dokumen sokongan.

"Pertimbangan sewajarnya telah diberi kepada usaha pihak KAFA untuk melangsaikan tunggakan-tunggakan sedia ada melalui dokumen-dokumen yang dihantar kepada FMLLP pada 8 Jun 2017," menurut kenyataan.

Sementara itu, FMLLP memberi tempoh sehingga 31 Okt depan, kepada KAFA untuk menyelesaikan tunggakan gaji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perkeso dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"FMLLP memohon agar KAFA melengkapkan proses pendaftaran dengan mengemukakan surat penyelesaian gaji, KWSP, Perkeso dan LHDN kepada FMLLP secepat mungkin.

"Jika KAFA gagal melengkapkan proses pendaftaran sebelum hari akhir pada 31 Okt 2017, tindakan boleh diambil untuk menyingkirkan KAFA ke divisyen yang bawah daripada divisyen di mana KAFA sepatutnya bertanding untuk musim 2018," menurut kenyataan itu.

Kelantan bersama tiga pasukan lain dikenakan pemotongan enam mata dan larangan mendaftar pemain baru pada Mei lalu susulan kegagalan melengkapkan proses pendaftaran pemain melalui Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak (SPMB) sebelum 31 Mac 2017.

Selain Kelantan, turut menghadapi hukuman yang sama adalah T-Team, Perlis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sumber: Bernama | 19 Jun 2017

LKIM akan jual ikan kepada peneroka Felda dan Kesedar di Kelantan

GUA MUSANG: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan membantu warga peneroka Felda dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di Kelantan untuk mendapatkan bekalan ikan segar beku untuk keperluan harian pada harga lebih murah.

Timbalan Ketua Pengarah LKIM Nik Hashim Abdul Rahman berkata pasaran ikan segar beku itu akan memasuki kawasan terbabit dalam masa terdekat ini bagi mengurangkan beban perbelanjaan harian kumpulan sasar itu.

"Pihak LKIM sedang mengenal pasti premis untuk jualan ikan itu manakala di kawasan bandar sudah diperkenalkan jualan ikan beku segar yang berkualiti tetapi pada harga murah," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran promosi ikan sejuk beku murah di Rancangan Tanah Felda Chiku 5, di sini hari ini.

Majlis pelancaran itu dilakukan Anggota Dewan Undangan Negeri Paloh, Datuk Nozula Mat Diah.

Katanya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berusaha membantu selepas menyedari harga ikan di pasaran melambung tinggi hingga tidak mampu dibeli penduduk berpendapatan rendah.

Nik Hashim berkata tujuh jenis ikan yang dibekukan bakal dipasarkan di rancangan tanah terbabit dan harga jualan juga tidak lebih daripada RM10 sekilogram, iaitu lebih murah berbanding dijual di pasar di semua negeri.

Katanya LKIM mengambil berat soal kualiti ikan supaya penduduk dapat merasai keenakan ikan segar.

Sementara itu, Nozula berkata langkah LKIM memasarkan ikan tersebut di kawasan Felda dan Kesedar adalah langkah baik bagi menjimatkan perbelanjaan peneroka.

"Kalau sebelum ini peneroka membeli ikan yang kurang segar dan mahal di pasar, selepas ini mereka boleh beli dengan harga murah, bermutu selain dapat jimat belanja," katanya.

Sumber: Bernama | 19 Jun 2017

SME Corp bantu 43,094 usahawan PKS melalui geran dan pinjaman berjumlah RM5.63 bilion setakat 31 Mei lepas - Ahmad Maslan

KOTA BHARU: SME Corp mengeluarkan geran dan pinjaman berjumlah RM5.63 bilion kepada 43,094 usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di seluruh negara, setakat 31 Mei lepas, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata bantuan kepada usahawan terbabit yang dilaksanakan sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) disalurkan melalui pelbagai program seperti Program Peningkatan Enterprise Bumiputera, Program Galakan Eksport Bumiputera, Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera, serta Program Pinjaman Mudah Untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana.

"Ini adalah usaha yang berterusan dilakukan oleh SME Corp bagi mencapai matlamat negara berteraskan keusahawanan," katanya kepada pemberita selepas Program Sembang Santai Usahawan Kelantan di sini, hari ini.

Ahmad berkata setakat ini, terdapat 645,136 usahawan PKS di seluruh negara dengan PKS yang dimiliki oleh usahawan bumiputera hanya 37 peratus dan usaha sedang dilakukan bagi melonjakkan jumlah usahawan bumiputera.

"Daripada jumlah tersebut (645,136), di Kelantan terdapat 38,064 syarikat entiti perniagaan PKS dengan 92 peratus perniagaan adalah mikro iaitu pekerja tidak lebih daripada lima orang dan nilai jualan tidak lebih daripada RM300,000 setahun," katanya.

Beliau berharap usahawan mikro di Kelantan dapat meningkatkan perniagaan masing-masing kepada kategori usahawan kecil.

Katanya kementeriannya juga akan membantu usahawan negeri ini yang menghadapi masalah termasuk pembiayaan, pemasaran, bekalan air bersih, kenaikan kos operasi dan banjir musim tengkujuh.

Beliau juga mahu usahawan PKS merebut peluang bantuan yang disediakan melalui pelbagai agensi kerajaan yang lain dalam usaha membangunkan usahawan.

Sumber
: Bernama | 19 Jun 2017

Isnin, 19 Jun 2017

Enam lokasi berisiko kemalangan jalan raya di Kelantan dipantau

Datuk Hasanuddin Hassan
GUA MUSANG: Polis Kelantan akan membuat pemantauan di enam lokasi berbahaya di tiga jalan utama di Kelantan bagi mengelakkan berlaku kemalangan jalan raya sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri minggu depan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata lokasi itu membabitkan Kilometer (KM) 311.1 dan 318.5 Jalan Kuala Krai - Gua Musang, KM 732 Jalan Rantau Panjang - Pasir Mas dekat Lubok Jong.

Selain itu, di KM 290.2 Jalan Tanah Merah - Pasir Puteh hadapan JKR Machang, KM 37 Jalan Kota Bharu - Terengganu, KM 16.2 dan 16.8 Jalan Panglima Bayu - Rantau Panjang - Jeram Perdah.

"Kesemua lokasi itu akan dipantau anggota polis peronda supaya pengguna mematuhi peraturan jalan raya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat yang bermula semalam (18 Jun) hingga 2 Julai depan, sempena Hari Raya 2017 di Hentian Gua Musang di Kampung Tanah Puteh sini, Ahad malam.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan Mahasan Mustafa dan Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Rajab Ahad Ismail.

"Selain itu, anggota polis juga akan melakukan rondaan di kawasan kediaman penduduk yang pulang beraya di kampung bagi menangani kes pecah rumah.

"Bagaimanapun kita mahu penduduk yang ingin pulang ke kampung menyambut hari raya supaya mengisi borang keselamatan rumah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berhampiran," katanya sambil menambah ia bagi memudahkan anggota yang membuat rondaan memantau kawasan penempatan terbabit.

"Musim perayaan sudah tentu terdedah kepada peluang kejadian jenayah khusus pecah rumah dan kita harap penduduk memberi kerjasama bagi memastikan semua kediaman selamat," katanya.

Sumber: Bernama | 19 Jun 2017

Khamis, 15 Jun 2017

ECRL project a game changer, mindset changer for East Coast - Najib

PUTRAJAYA: The East Coast Rail Link (ECRL) mega project is a 'game changer' and 'mindset changer' for the people on the East Coast with the arrival of the modern era in their area, said Prime Ministeri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"I was involved in a programme in Bachok, Kelantan several months ago. The residents could not imagine such a modern and sophisticated rail service in their midst when they saw how the train looked like.

"When I saw their reaction, I realised that the project is not only a 'game changer' but also also a 'mindset changer'. It opens the minds of the rural populace in the East Coast that the modern era has arrived in their region," he said.

Najib, who is also Finance Minister, said this when opening the 'Negaraku' ECRL Industry Training Project at the Finance Ministry here today.

He said the economic growth rates in Terengganu, Kelantan and Pahang were each expected to increase by 1.5 per cent through the implementation of the ECRL.

According to Najib, based on government studies, 95 per cent of respondents supported the project which simultaneously showed it received the support and prompting of the people.

On the training programme, the prime minister said it was the result of the effort of the government to bring equal development to the East Coast region.

He said 3,600 local-born participants would be undergoing the training programme which focused on fulfilling the job needs in the ECRL sector.

"Hopefully, the training programme will give a clear signal that the project brings a huge benefit to Malaysians other than further firming our bilateral ties with China," he said.

During the ceremony, Najib witnessed 12 memoranda of understanding (MoUs) signed and the exchange of documents.

The MoUs between Malaysia Rail Link (MRL) with China Communications Construction Company Limited (CCCC) and public higher institutions of learning was to realise industry and academia collaboration for ECRL Industrial Skills Training.

It is aimed at providing and boosting the skills of local graduates for recruitment by ECRL contractors and the railway industry.

Source: Bernama | 14 June 2017

Projek ERCL sebagai pencetus perubahan bagi penduduk Pantai Timur - Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian kerjasama antara Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd, Darwis Abdul Razak dengan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur pada majlis perasmian Program Latihan Kemahiran Industri Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kementerian Kewangan hari ini. Turut sama (dari kiri) Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, Duta Besar China ke Malaysia Huang Hui Kang dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.
PUTRAJAYA: Projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berperanan sebagai pencetus perubahan dan membuka minda penduduk di Pantai Timur tentang ketibaan era moden di kawasan mereka, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Beberapa bulan lalu, saya telah terlibat dengan program di Bachok, Kelantan dan apabila penduduknya melihat rupa tren tersebut, mereka tidak dapat bayangkan perkhidmatan rel yang sebegitu moden dan canggih ini berada di kawasan mereka.

"Apabila saya tengok reaksi mereka ini, saya melihat projek ini bukan sahaja sebagai 'game changer' (pencetus perubahan) tetapi juga 'mindset changer' (membuka minda). Yang mana ia membuka minda orang luar bandar di Pantai Timur bahawa era moden telah tiba bagi rantau mereka," katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika merasmikan Latihan Industri Projek ECRL Negaraku di Kementerian Kewangan, di sini hari ini.

Beliau berkata kadar pertumbuhan ekonomi di Terengganu, Kelantan dan Pahang dijangka bertambah 1.5 peratus menerusi pelaksanaan ECRL.

Menurutnya, berdasarkan kajian pihaknya, sebanyak 95 peratus responden menyokong pelaksanaan projek tersebut sekali gus menunjukkan ia mendapat sokongan dan dorongan daripada rakyat.

Mengenai program latihan itu, perdana menteri berkata ia adalah merupakan keberhasilan usaha kerajaan membawa pembangunan setara ke wilayah Pantai Timur.

Menurutnya, sebanyak 3,600 anak tempatan bakal menjalani program latihan industri yang memfokuskan kepada memenuhi keperluan kerja dalam bidang rel dan kereta api ECRL.

"Moga program latihan ini memberi isyarat yang jelas bahawa projek ini mendatangkan manfaat yang besar kepada rakyat Malaysia di samping mengeratkan hubungan bilateral kita dengan China," katanya.

Pada majlis itu, Najib menyaksikan sebanyak 13 memorandum persefahaman (MoU) telah dipersetujui dan upacara pertukaran dokumen telah dilakukan.

MoU antara Malaysia Rail Link (MRL) dengan Syarikat Komunikasi dan Pembinaan China (CCCC) serta institusi pengajian tinggi awam itu adalah untuk merealisasikan kerjasama industri dan pihak akademik untuk program Latihan Kemahiran Industri ECRL.

Ia bertujuan menyediakan serta meningkatkan kemahiran graduan tempatan untuk diambil bekerja oleh kontraktor ECRL dan industri kereta api.

Sumber: Bernama | 14 Jun 2017

TM Kelantan sumbang baju, duit raya kepada pelajar tahfiz

KOTA BHARU: Telekom Malaysia (TM) Kelantan hari ini menyumbangkan baju raya dan duit raya kepada 51 pelajar Pondok Tahfiz ANZ Al Hasyimi, Padang Raja, Melor di sini sempena Program Tautan Ramadan TM 2017.

Selepas berbuka puasa, mereka menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih di Surau Ar Rashidin di Kompleks TM Kelantan.

Pengurus Besar TM Kelantan Azman Yusof berkata sumbangan itu adalah daripada warga TM negeri.

"TM juga berhasrat untuk terus membantu institusi pondok di bawah konsep pondok angkat agar semua pelajar dapat meneruskan pembelajaran ilmu dan hafazan al-Quran dengan lebih baik daripada apa yang mereka alami sekarang," katanya.

Beliau berkata penglibatan TM dalam inisiatif tersebut bertujuan melengkapkan tanggungjawab sosial korporat TM untuk masyarakat di bawah pendekatan serampang tiga mata iaitu pendidikan, pembangunan masyarakat dan alam sekitar.

Pada majlis itu, TM turut menganjurkan taklimat mengenai keselamatan di kawasan pondok bagi mencegah kebakaran dan penjagaan kebersihan bagi mengelak jangkitan penyakit dengan kerjasama Pusat Perubatan Kota Bharu (KBMC).

Sumber: Bernama | 14 Jun 2017

Aksem Kelantan rampas beras Siam bernilai RM175,000

KOTA BHARU: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Kelantan merampas 35 tan beras Siam bernilai RM175,000 selepas menahan sebuah treler yang mengangkut beras seludup itu di Kampung Merapoh, Pahang semalam.

Komander Aksem Kelantan, Mohd Asri Yahya berkata beras-beras itu dipercayai akan dihantar ke Subang, Selangor untuk bekalan Aidilfitri.

"Pemeriksaan terhadap treler tersebut mendapati ia dipenuhi dengan guni berisi beras Siam dipercayai diseludup dari negara jiran melalui pangkalan haram di sekitar kawasan Pengkalan Kubor, Tumpat, " katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata treler muatan beras itu dikesan hasil maklumat awam sebelum enam anggota Aksem bersama anggota penguat kuasa Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Kelantan bertindak menahan lori berkenaan bersama pemandu berusia 57 tahun di Kampung Merapoh pada pukul 5 petang.

Beliau berkata kesemua barangan yang dirampas itu diserahkan kepada Seksyen Kawal Selia Padi dan Beras, Bahagian Industri Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk tindakan lanjut.

"Ini adalah kes ke-12 melibatkan rampasan beras malah merupakan kes terbesar rampasan komoditi itu oleh Aksem Kelantan sejak Januari hingga semalam," katanya.

Pada 2015, sebanyak 57 kes rampasan beras seludup bernilai RM523,400 dicatatkan manakala pada 2016 sebanyak 51 kes direkodkan melibatkan nilai rampasan RM934,191.

Sumber: Bernama | 14 Jun 2017

Selasa, 13 Jun 2017

Projek Kesban kurangkan risiko banjir di sempadan Kelantan-Thailand

TUMPAT: Projek Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok (Kesban) Fasa 1, melibatkan peruntukan RM300 juta akan dapat mengurangkan risiko banjir di jajahan berhampiran sungai berkenaan termasuk Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Ir Dr Hamim Samuri berkata projek itu melibatkan dua komponen utama iaitu projek pengukuhan tebing Sungai Golok dan projek tebatan banjir di sepanjang sungai tersebut.

"Sebahagian besar projek pengukuhan tebing Sungai Golok telah siap dan selebihnya dalam pembinaan, manakala projek tebatan banjir dalam proses pelaksanaan," katanya selepas melawat Sungai Golok yang menjadi sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan, di Pengkalan Kubor di sini, hari ini.

Hamim berkata projek Kesban merupakan sebahagian inisiatif dalam penyelesaian menyeluruh terhadap isu banjir di Sungai Golok melibatkan anggaran kos RM1.032 bilion dengan tempoh pelaksanaan membabitkan tiga fasa melangkaui Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).

Katanya selain akan membantu mempercepatkan pengaliran air banjir di Jajahan Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli, projek itu turut berperanan menjamin keselamatan dan kedaulatan negara di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai projek mengukur sempadan Malaysia-Thailand, Hamim berkata setakat ini, kerja-kerja mengukur sempadan dari Perlis sehingga Kelantan telah selesai.

"Sebahagian besar sempadan yang telah siap diukur itu sudah ditandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Thailand," katanya.

Beliau berkata pada masa ini, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia serta kementeriannya sedang menyediakan draf MoU bagi menerima pakai sempadan yang telah ditanda dan diukur secara bersama antara pihak Malaysia dan Thailand di sepanjang Sungai Golok.

Katanya draf MoU itu bakal dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Bersama Malaysia-Thailand pada masa akan datang.

Sumber: Bernama | 13 Jun 2017

Isnin, 5 Jun 2017

TPM, MB Kelantan adakan pertemuan tertutup

Ahmad Zahid Hamidi berbual mesra dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad, Yakob ketika membuat kunjungan kepada ke Pejabat Menteri Besar di Kompleks Kota Darul Naim hari ini.
KOTA BHARU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan tertutup dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darul Naim di sini pagi ini.

Beliau yang diiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Pemangku Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad tiba di kompleks tersebut kira-kira pukul 10 pagi.

Antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan kira-kira satu jam yang berakhir pada pukul 11 pagi itu ialah berkaitan hal-hal keselamatan, ancaman dadah serta pemulihan dalam kalangan banduan di negeri ini.

Ahmad Zahid dalam sidang akhbar selepas pertemuan itu berkata, pihaknya akan terus mengadakan kerjasama erat dengan Kerajaan Pas Kelantan bagi membantu menyelesaikan masalah berkaitan soal keselamatan dan penyalahgunaan dadah.

Katanya, dalam pertemuan itu, beliau turut meminta kerajaan negeri agar menjalinkan kerjasama dengan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) bagi mewujudkan kelab pencegahan jenayah di semua sekolah di Kelantan.

“Kebetulan menteri besar adalah kawan saya dan kebetulan saya berada di Kelantan, saya mengambil kesempatan ini untuk berjumpa Ahmad bagi membincangkan mengenai tiga perkara penting ini.

“Pertemuan hari ini, hanya tertumpu pada perkara itu dan langsung tidak menyentuh mengenai soal politik,” katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata, beliau bersyukur dapat mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri bagi membincangkan mengenai masalah berkaitan keselamatan dan dadah di Kelantan.

“Kita akan memberi kerjasama penuh dalam melaksanakan pelbagai program khususnya dalam usaha mencegah masalah penyalahgunaan dadah di negeri ini,” katanya yang juga Timbalan Murysidul Am Pas.
 
Sumber: Utusan Online | 5 Jun 2017