KOTA BHARU: Kelainan yang ditonjolkan seorang peniaga dalam menyediakan hidangan ayam bakar menggunakan pasu bunga mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai di negeri ini.
Ayam yang dilumurkan dengan rempah dan madu itu dibakar menggunakan arang dalam pasu yang bahagian atasnya ditutup atau ditekup dengan sebuah lagi pasu.
Nurizwan Hafiza Tajudin, 27, berkata beliau menggunakan 30 pasu yang diperbuat daripada tanah liat bagi menyediakan masakan berkonsepkan bakar dan kukus.
"Kelembutan ayam masak menggunakan pasu juga berbeza dengan cara masakan ayam bakar yang lain sebab ia dibakar dan dikukus," katanya kepada Bernama di tapak jualan Ayam Bakar Pasu Tekup di Pengkalan Chepa di sini, hari ini.
Nurizwan Hafiza berkata 180 ekor ayam bakar pasu tekup berjaya dijual setiap hari sejak awal Ramadan lalu kerana pelanggan ingin menikmati kelainan masakan serta resepi rempah dan madu yang digunakannya.
"Idea ini tercetus pada dua tahun lepas ketika saya bekerja di Melaka, saya lihat ada peniaga yang menjual ayam bakar dalam pasu, jadi saya ambil kaedah ini sebagai inspirasi dan ia mendapat sambutan menggalakkan di sini," katanya.
Nurizwan Hafiza berkata sebelum dibakar, ayam tersebut akan diperap semalaman menggunakan resepi rempah yang diwarisi daripada keluarga mentuanya.
"Proses membakar ayam dalam pasu mengambil masa selama 35 minit hingga 45 minit dan keseluruhan bahagian ayam akan masak sekata," katanya.
Pelanggan boleh mendapatkan ayam tersebut mulai pukul 3 petang termasuk di dua lagi cawangannya iaitu di Sri Aman, Pasir Puteh dan Binjai, Kubang Kerian di sini.
Sumber: Bernama | 27 Mei 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan