Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 27 Mei 2018

Beli rempah ratus di Arab Saudi untuk jamin keaslian nasi Arab

BESUT: Demi menjamin keaslian menu Nasi Arab di restorannya, pengusaha Restoran Nasi Arab Al-Amin di Jertih Zulhasnan Abdullah, 32, sanggup terbang ke Arab Saudi untuk membeli rempah ratus bahan masakan menu istimewanya itu.

Perkara itu, bagaimanapun tidak sukar bagi beliau yang juga Ketua Pegawai Operasi Munawwar Travel and Tours Sdn Bhd di Jertih yang menawarkan perkhidmatan membawa jemaah haji dan umrah ke Makkah dan Madinah setiap bulan.

Walaupun harga hidangan itu agak mahal, namun nasi Arab yang dikatakan berasal dari Timur Tengah itu cukup digemari masyarakat Malaysia kerana dikatakan sedap dan sesuai dengan selera mereka, katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Kini semakin banyak restoran nasi Arab dibuka di negara ini, baik oleh pengusaha warga Arab sendiri ataupun rakyat tempatan.

Menyedari adanya persaingan sengit menyebabkan beliau sanggup terbang ke Arab Saudi untuk mendapatkan rempah ratus menu nasi arab jualannya itu.

Selain menggunakan bahan-bahan yang diperoleh di Arab Saudi, restoran yang dibuka lebih setahun lepas itu turut menggaji dua chef dari Arab Saudi.

Zulhasnan berkata restorannya menarik ramai pelanggan tempatan dan warga Arab yang tinggal di daerah Besut dan negeri jiran, Kelantan.

Kekerapan membawa jemaah haji dan umrah serta mempunyai rakan niaga warga Arab yang mengusahakan restoran tersebut merupakan titik tolak bagaimana beliau memulakan perniagaan di daerah kelahirannya di bandar Jertih dengan modal RM60,000.

Sempena kedatangan Ramadan ini, restorannya menyediakan lima set menu nasi Arab berasaskan ayam dan kambing dengan harga dari RM30 hingga RM125.

Beliau berkata restorannya juga menjual air zam-zam, teh Arab, kurma dan minyak zaiton serta merancang untuk membuka cawangan baharu di Tanah Merah dan Pasir Putih, Kelantan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Sumber: Bernama | 27 Mei 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan