Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 26 Mei 2018

Loke: Memperkasa sektor pengangkutan awam darat keutamaan Kementerian Pengangkutan

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan serta jabatan dan agensi di bawah seliaannya komited untuk memperkasa sektor pengangkutan awam darat negara.

Menterinya Anthony Loke Siew Foo yang mula bertugas pada Selasa lepas berkata pelbagai langkah dan mekanisme telah dan akan diambil untuk memperkukuh sektor pengangkutan awam darat negara.

"Ini adalah selaras dengan komitmen kerajaan Pakatan Harapan untuk memperkukuh dan mereformasikan institusi kerajaan dalam usaha meningkatkan integriti, ketelusan dan kecekapan perkhidmatan," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pada minggu pertama sebagai Menteri Pengangkutan, Loke telah melakukan beberapa siri lawatan kerja ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan juga Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) bagi mendapatkan maklumat, mengadakan diskusi dan bertukar pandangan.

Beliau berkata beberapa pendekatan positif dan hala tuju masa depan JPJ dan JKJR dirumuskan hasil lawatan termasuk pelaksanaan sistem e-bidding untuk membida nombor kenderaan.

Beliau berkata tiada lagi sebarang nombor pendaftaran kenderaan khas akan diberikan kepada mana-mana badan bukan kerajaan mahupun badan-badan kebajikan.

Selain itu, beliau berkata semua peringkat ujian memandu akan dilaksana secara automasi termasuk cadangan pemasangan kamera papan pemuka di dalam kereta-kereta ujian.

Berhubung pembubaran Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Rabu lalu, Loke memberi jaminan tiada kakitangan tetap SPAD akan kehilangan jawatan mereka.

"Saya juga ingin menegaskan bahawa segala operasi SPAD akan berjalan seperti biasa, namun kini ia diletakkan di bawah seliaan Kementerian Pengangkutan. Sebarang maklumat terkini berhubung perkara ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.

Dalam isu keselamatan jalan raya yang menjadi keutamaannya, Loke berkata JKJR akan menumpukan strategi promosi dan program advokasi kepada golongan belia terutamanya penunggang motosikal.

Sumber: Bernama | 26 Mei 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan