Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 27 Mei 2018

Bantahan pelantikan MB, di luar konsep Raja Berpelembagaan - Pengamal Undang-undang

KANGAR: Bantahan terhadap pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar yang telah diperkenankan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail untuk menjawat jawatan itu adalah di luar Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis dan konsep Raja Berpelembagaan yang didokong oleh seluruh rakyat negara ini.

Pengamal Undang-undang, Ramli Shariff menjelaskan, berdasarkan Perkara 39(4) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis menyatakan bahawa Raja Perlis berkuasa melantik Menteri Besar sama ada mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau sebaliknya.

Kata beliau, peruntukan undang-undang itu juga menyebabkan Perlis unik berbanding negeri-negeri lain kerana merupakan satu-satunya negeri yang membolehkan seseorang menteri besar dilantik tanpa memerlukan sokongan majoriti wakil-wakil rakyat.

“Kuasa dan hak Tuanku Syed Sirajuddin dalam hal ini (pelantikan Menteri Besar) jelas dan tidak boleh dipertikaikan mana-mana pihak termasuk ahli politik.

“Dalam hal ini, ia merupakan perkara asas kepada konsep Raja Berpelembagaan itu dan adalah sesuatu yang mendukacitakan sekiranya kita tidak mendokongnya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tambah beliau, sehubungan itu, sebarang tentangan terhadap keputusan pelantikan Menteri Besar itu seharusnya tidak berlaku jika semua pihak menghormati konsep Raja Berpelembagaan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan turut terdapat peruntukan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis yang membolehkan Menteri Besar menjalankan tugas-tugas tanpa pelantikan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Ini bermakna, sekiranya lapan ADUN Barisan Nasional (BN) kekal tetap tidak menyokong Datuk Seri Azlan, Menteri Besar masih boleh menjalankan tugas-tugas dengan dibantu ex-officio (pegawai kerajaan) iaitu setiausaha kerajaan negeri, penasihat undang-undang dan pegawai kewangan negeri,” jelasnya.

Ramli seterusnya menasihatkan pihak-pihak yang terlibat dalam isu berkenaan menyedari kesilapan dilakukan yang disifatkan sebagai ‘fighting a losing battle’ (memperjuangkan perkara yang tidak akan berjaya) dan segera memohon ampun kepada Tuanku Syed Sirajuddin bagi menyelesaikan kemelut ini.

“Sekiranya kesemua ADUN BN ini tidak dapat menerima perkara ini (mengakui kesilapan), maka tiada cara lagi selain melepaskan jawatan masing-masing sebagai wakil rakyat),” katanya yang enggan mengulas kemungkinan akan berlakunya pilihan raya negeri kerana masih terlalu awal untuk membuat andaian itu.

Isu pelantikan Menteri Besar mendapat perhatian meluas media-media massa kerana semasa pelantikan Azlan yang diperkenankan Tuanku Syed Sirajuddin untuk memegang jawatan itu di Istana Arau dekat sini Khamis lalu, kesemua sembilan ADUN BN tidak menghadirinya.

Pada masa sama, Azlan yang juga ADUN Bintong tersebut dipecat keahliannya.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mengadakan satu sidang akhbar khas di ibu negara bersama kesemua wakil rakyat daripada BN.

BN memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri apabila memenangi 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis. 

Sumber: Utusan Online | 27 Mei 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan