TUMPAT: Datuk Seri Najib Razak hari ini membawa khabar gembira buat 
rakyat di Tumpat apabila mengumumkan beberapa aku janji tambahan 
sekiranya Barisan Nasional (BN) menguasai negeri ini pada pilihan raya 
umum ke-13, Ahad ini. 
Antara aku janji yang paling besar diumumkan Perdana Menteri itu 
adalah membina Jambatan Palekbang yang gagal dilaksanakan kerajaan 
negeri pimpinan PAS pada 1996. 
"Hok ni yang ditunggu. Orang itu (kerajaan PAS) letak batu asas 
tu lamo doh sampai le ni tak buat gapo. (Orang itu letak batu asas itu 
lama dah sampai sekarang tidak buat apa-apa). 
"Kita bina Jambatan Palekbang dan ambo akan keluarkan peruntukkan 
untuk ini. Janji kita dapat kembali semula kepada BN," katanya ketika 
berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Chabang 
Empat di sini, hari ini. 
Turut hadir Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed, 
timbalannya Datuk Dr Awang Adek Hussin, calon BN bagi kerusi Parlimen 
Tumpat, Mansor Salleh, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan 
Kubor, Datuk Noor Zahidi Omar, Wan Hanapi Wan Yaacob (DUN Kelaboran), 
Nik Noriza Nik Salleh (DUN Pasir Pekan) dan Mohd Rosdi Ab Aziz (DUN 
Wakaf Bharu). Lebih 20,000 orang hadir pada majlis berkenaan. 
Jambatan Palekbang, yang menghubungkan antara Kampung Cina di 
Kota Baharu dengan Kampung Palekbang di sebelah Tumpat, adalah satu 
manifestasi kegagalan kerajaan PAS Kelantan pada 1996. 
Projek meletak batu asas pembinaan jambatan yang menjadi isu itu dilakukan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. 
Pengumuman Najib mengenai aku janji menaik taraf Pasar Chabang 
Empat, Pasar Tumpat, Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor serta semua surau 
di jajahan Tumpat yang disambut tepukan bergemuruh daripada hadirin.
Sumber: BERNAMA |  2 Mei 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan